Tak mungkinlah saya nak memuja ‘benda’ – Sharifah Sakinah

SENTIASA mencari kelainan mencabar kemampuan diri demi mencapai kepuasan dalam kerjaya.

Itu yang sentiasa dikejar aktres Sharifah Sakinah setiap kali menerima tawaran lakonan sama ada untuk layar perak mahupun televisyen.

Pemilik nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar itu berkata, keseronokan dalam lakonan juga boleh dirasai secara maksima apabila memegang watak yang bertentangan dengan karakter pernah dijayakan sebelum ini.

Perkara tersebut dirasai Sakinah dalam filem seram terbaharu arahan Ghaz Abu Bakar iaitu Qifarah.

Berperanan sebagai seorang ibu tiri bernama Mawar, Sakinah berkata, watak sebegitu sememangnya klise tetapi dia berusaha mencipta sesuatu untuk tampak berbeza iaitu lebih banyak ‘bermain’ dengan ekspresi wajah.

MENERUSI filem seram Qifarah, Sharifah Sakinah mengetengahkan satu lagi karakter gelap yang pasti diingati penonton.

Saya jenis akan buat satu watak itu jadi ikonik. Selalunya watak ibu tiri sangat klise di Malaysia tetapi saya lebih tekankan dialog dan mood menerusi ekspresi muka, memang ‘poker face’ habis!

“Bila ada karakter sebegitu, penonton akan tertanya-tanya status watak saya sama ada baik atau jahat.

“Perkara sebegitu bagus sebab buat penonton berfikir dan ingat dengan watak lakonan kita,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Meski berpengalaman, dia bagaimanapun tetap menyertai kelas lakonan bagi memastikan emosi dan jiwa yang hendak disampaikan dapat dirasai penonton.

“Sejak dulu memang pelbagai karakter saya sudah lakukan tetapi saya tidak akan buat sama dan cipta kelainan sendiri.

Itu yang akan dinantikan oleh penonton yang menanti kejutan apa lagi saya nak buat nanti. Inilah dinamakan sebagai character design,” katanya yang sebelum ini meledak menerusi drama Curang Tanpa Niat.

Mantera Thailand

Berkongsi tentang naskhah yang ditayangkan bermula 9 Oktober lalu, wataknya turut menuntut dia menghafal mantera dalam bahasa Thailand.

Dia pada awalnya menolak untuk melafazkan mantera tersebut namun tetap perlu dilakukan bagi kelancaran skrip.

Membawakan watak ibu tiri bernama Mawar, Sakinah cuba keluar daripada acuan klise dengan memberi penekanan kepada ekspresi wajah.

“Pihak produksi yang dapatkan mantera itu tetapi saya ada bertanya sekiranya sama ada berkaitan unsur pemujaan.

Bukan tak suka tetapi bimbang juga sebab risau tentang gangguan atau pemujaan sebab tidak mahu teruskan kerana bimbang.

“Mantera itu dalam bahasa Thailand. Selepas berbincang dengan produksi, saya tetap lakukan sehabis baik sebab kalau filem ini ditayangkan dalam Netflix, pasti akan ada orang Thailand tonton. Bayangkan jika salah sebut ayat sendiri mesti akan jadi bahan ketawa,” ujarnya.

Sakinah, 36, turut bersyukur kerana tidak berdepan dengan sebarang gangguan mistik sepanjang menuturkan skrip dalam bahasa Thailand tersebut.

Tidak mungkinlah saya nak memuja ‘benda’. Jadi, setiap perkataan perlu saya sebut dengan betul, jelas dan disertai rasa yang tepat.

“Ada juga babak yang memerlukan saya membaca satu halaman penuh tulisan yang langsung saya tak faham. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang aneh berlaku,” katanya lagi.

Selain Sakinah, Qifarah turut dibintangi barisan pelakon hebat lain termasuk Datuk Remy Ishak, Rita Nadira, Liyana Jasmay, Vanidah Imran, Namron dan Esma Daniel.

Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy) yang berhijrah ke Kaherah bersama isteri, Marissa (Rita) dan anak lelaki mereka, Mikhael.

Namun, hidup mereka berubah apabila pulang ke tanah air dan berdepan gangguan aneh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok