PEKA dengan keadaan semasa, pelakon Anzalna meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan nak-anak susulan peningkatan kes rogol yang berlaku di sekolah melibatkan pelajar baru-baru ini.
Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md. Nasir, 37, berkata, sebagai seorang ibu, dia sentiasa menasihati anak-anak dan mengamalkan doa setiap hari bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT.
“Bila kes di sekolah makin meningkat, kita mula risau tentang keselamatan anak-anak.
“Sebagai seorang ibu bermacam nasihat dan doa diamalkan setiap hari.
“Selebihnya kita serahkan kepada Allah, tapi hati tetap tak tenang bila teringat macam-macam kes kebelakangan ini,” katanya dalam Threads.
Dalam masa sama, ibu kepada dua orang anak itu turut mempersoalkan tahap keselamatan di sekolah yang semakin menjadi perhatian masyarakat.
“Soal keselamatan sekolah pun mula dipersoalkan salah siapa sebenarnya?
“Dulu waktu kita sekolah, ada juga kes tapi rasanya tak seteruk zaman sekarang. Betul tak?,” tambahnya.
Kenyataan tersebut dipercayai dimuat naik selepas tular laporan mengenai seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior kelasnya sendiri, dalam kejadian yang turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
Mangsa yang dalam keadaan trauma tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehinggalah ibunya dimaklumkan oleh guru selepas video berkenaan mula tersebar dalam kalangan pelajar. – HIBGLAM