Terlalu gembira, pelakon Sweet Qismina mengakui tak mampu memuat naik sebarang hantaran mengenai situasi di Gaza, Palestin kerana sebak dan terharu selepas gencatan senjata akhirnya tercapai di wilayah berkenaan.
Pada masa sama, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, turut memaklumkan tidak mampu menjadi sekuat rakyat Gaza yang berhadapan dengan rejim Israel.
“Bukan tak nak buat hantaran tentang situasi di Gaza sekarang.
Hati ini sangat bersyukur dan gembira melihat saudara-saudara di Gaza sampai tak mampu nak buat hantaran sebab asyik menangis saja tengok kebahagiaan yang Allah beri pada mereka.
“Terlalu sedih. Tak rasa tahap keyakinan, kepercayaan dan keredaan dalam diri kita sekuat mereka,” katanya dalam Threads.
Selain itu, isteri kepada pelakon Adam Lee itu turut mendoakan agar Allah melindungi penduduk di sana selain dikurniakan ganjaran syurga tertinggi atas kesabaran mereka.
Terima kasih Ya Allah. Kau tolong jagakanlah saudara-saudara kami di sana, lindungilah mereka dan berikanlah syurga Firdaus tanpa dihisab buat mereka.
“Mereka layak,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan gencatan senjata antara rejim Israel dan Palestin itu mula berkuat kuasa selepas pelan damai untuk menghentikan pertempuran susulan rundingan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Malah, tular sebuah video menyentuh hati yang memperdengarkan laungan azan Subuh buat kali pertama selepas bumi Gaza diselubungi kegelapan dan bunyi letupan peperangan. – HIBGLAM