Belanjawan 2026: FDAM senaraikan harapan penggiat seni kreatif

PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyenaraikan tiga harapan utama penggiat seni membabitkan ekosistem dan infrastruktur kekal dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini.

Pengerusinya Datuk Afdlin Shauki berkata, fokus terhadap keperluan utama kepada penggiat industri perfileman itu diyakini dapat membantu komuniti kreatif berdikari dan bukan bergantung kepada bantuan.

Katanya, andai mahu memajukan industri filem tempatan, penggiat seni juga tidak wajar melihat hiburan sebagai kos, sebaliknya pelaburan untuk jangka masa panjang.

“Kita sering mengagumi Korea Selatan yang mampu menakluk dunia dengan fenomena K-pop dan K-Drama, namun tidak menyedari kejayaan itu bukan terjadi secara kebetulan tetapi hasil strategi nasional yang dirangka melalui Teori Hallyu (Korean Wave Theory), iaitu dasar menyeluruh dalam memperkukuh ekosistem kreatif negara mereka lebih dua dekad lalu.

“Kerajaan Korea ketika itu berani melabur besar dalam pembangunan studio bertaraf dunia, teknologi produksi canggih, kemudahan pasca-produksi serta insentif ekonomi untuk pencipta kandungan tempatan,” katanya.

Menurut Afdlin, jika Malaysia mempunyai kemudahan terbaik pasti banyak kisah sejarah, aksi penyelamatan maritim atau naratif kepahlawanan bangsa boleh divisualkan dengan megah dan autentik.

‘Thailand boleh, kita boleh’

Katanya, infrastruktur seperti Studio Pinewood Iskandar yang pernah menjadi bukti bahawa Malaysia berkemampuan selain tiba masanya untuk menghidupkan semula visi berkenaan.

“Infrastruktur ini juga boleh menjadi sumber pendapatan kepada negara kerana boleh disewakan kepada penerbit antarabangsa. Kalau Thailand boleh tarik syarikat Hollywood datang, Malaysia juga boleh.

“Tapi mesti bermula dengan keberanian untuk membina semula asas industri filem kita secara fizikal,” katanya.

Afdlin yang berkecimpung dalam industri hiburan lebih 25 tahun lalu juga berharap Belanjawan 2026 lebih berani memperkenalkan pembaharuan cukai khas untuk sektor seni dan kreatif.

“Di Ireland misalnya, hasil karya seni seperti muzik, buku, teater dan filem diberi pengecualian cukai sehingga €50,000 (RM247,000) pertama.

“Langkah ini membolehkan artis mereka menyimpan lebih banyak pendapatan untuk membeli peralatan baharu, menaik taraf kemahiran, atau melabur semula dalam projek seterusnya.

“Sekiranya pendekatan sebegini dilaksanakan di Malaysia, saya yakin ramai anak seni tidak lagi perlu berhutang atau bergantung pada bantuan semata-mata untuk terus berkarya,” ujarnya.

IP

Selain itu, Afdlin juga menyentuh mengenai hak harta intelek (Intellectual Property atau IP) yang menjadi nadi sebenar kelangsungan industri kreatif.

“Selama ini, ramai penerbit dan pengarah tempatan kehilangan hak terhadap karya mereka sendiri disebabkan dasar lama, di mana penyiar nasional seperti RTM membeli ‘all rights’ untuk sesebuah karya.

“Ini bermakna selepas karya itu disiarkan, semua hak milik berpindah kepada penyiar dan pencipta asal sama ada pengarah mahupun penerbit tiada lagi kuasa menjual, memasarkan atau menayangkan karya itu di mana-mana platform lain.

“Jika kita mahu melihat industri filem dan televisyen Malaysia berkembang ke peringkat global, dasar seperti ini perlu dirombak. RTM dan mana-mana penyiar harus membeli hak siaran, bukannya hak milik kekal. Andai penyiar ingin memperoleh IP sepenuhnya, biarlah dilakukan dengan bayaran setimpal dengan nilai pasaran karya itu,” katanya.

Ujar Afdlin lagi, seni bukan hanya cerminan jiwa bangsa, malah menjadi sumber ekonomi masa depan negara yang berpotensi menjana nilai dan maruah.

“Andai direalisasikan, saya yakin industri seni negara bukan sahaja terus hidup, bahkan bangkit sebagai kekuatan baharu dalam ekonomi nasional, menyatukan rakyat melalui budaya, memperkukuh identiti bangsa dan membawa nama Malaysia dengan gah di persada dunia,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok