PELAKON Scha Alyahya mengakui kehidupan penuh glamor golongan selebriti tidak seindah yang dilihat dari luaran sebaliknya sarat dengan onak duri yang tidak dipaparkan kepada umum.
Menurut pemilik nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, itu, setiap anak seni bergelut di sebalik dunia glamor yang dihidangkan kepada umum termasuk perlu memenuhi jangkaan orang ramai dalam setiap karya dihasilkan.
“Orang nampak kehidupan selebriti hanya dari luaran sahaja tetapi pada akhirnya, pekerjaan sebagai anak seni ada pasang surut dan rintangan yang lebih sukar disebaliknya.
“Kita bukan saja bercakap tentang perkara yang orang tidak nampak seperti kepayahan di belakang tabir.
“Cabaran lain yang perlu dipenuhi dan orang tidak nampak ialah mencapai jangkaan tinggi yang diletakkan orang sekeliling terhadap diri kita,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem 5 Bomoh, semalam.
Tambahnya, tekanan tersebut bukan sahaja dirasai anak seni tetapi tempiasnya turut dirasai ahli keluarga.
Ujarnya, memikul beban sebagai anak seni bukan perkara mudah namun dia memilih untuk tidak membandingkan perjuangan tersebut dengan pekerjaan lain yang mempunyai cabaran berbeza.
“Perkara-perkara seperti itu sebenarnya sangat berat untuk dipikul tetapi orang ramai tidak nampak kerana mereka hanya melihat sisi glamor yang dipaparkan sahaja.
“Sebab itu saya berpendapat setiap individu mempunyai perjuangan masing-masing.
“Bukanlah untuk membandingkan atau memperkecilkan cabaran orang lain, hakikatnya setiap indvidu melalui ujian yang berbeza dalam kehidupan,” katanya lagi.
Semalam, pelakon Yusuf Bahrin berkongsi pendapat mengenai masyarakat sering menganggap kehidupan golongan selebriti serba mewah dan popular namun hakikatnya turut berdepan pelbagai cabaran yang tidak diketahui umum demi meneruskan kelangsungan kerjaya dalam industri hiburan tempatan. – HIBGLAM
