‘Harap dapat hadir ke Axiata Arena, bersolidariti demi Palestin’

MOMEN paling dinanti-nantikan ramai, pelakon Nadzmi Adhwa tidak dapat menahan sebak ketika menyambut kepulangan isteri tercinta, Ardell Aryana yang juga sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Nadzmi dilihat teruja sebelum memeluk, mengucup pipi Ardell dan menghadiahkan sejambak bunga setelah hampir dua bulan tidak bertemu.

Dia juga sempat menjerit kegembiraan dengan memaklumkan isterinya sudah pulang ke tanah air.

Bini aku sudah balik!” laung Nadzmi sambil mendukung dua anaknya.

Adhwa sebelum itu tiba di KLIA dengan menaiki bas yang membawa ahli keluarga aktivis GSF.

Sementara, Ardelll atau nama sebenar, Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, sempat menitipkan ucapan pendek dan rasa terharu dengan sambutan daripada rakyat Malaysia.

“Terima kasih kerana sukarela hadir menyambut kami semua.

Saya tak dapat berkongsi banyak dan harap semua dapat hadir ke Axiata Arena esok untuk sama-sama bersolidariti demi Palestin,” katanya ringkas.

Ketibaan 23 delegasi Malaysia disambut dengan laungan takbir dan ‘Free Palestine’

Pada Sabtu lalu, kesemua 23 sukarelawan GSF dibebaskan selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.

Kesemua 23 sukarelawan selamat tiba di KLIA pada pukul 10.13 malam tadi.

Hari ini, seramai 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF selamat tiba di tanah air dari Istanbul, Turki selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.

Kesemua 23 sukarelawan termasuk selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi merupakan sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan dari beberapa negara yang turut berlayar sejak September lalu.

Kapal dinaiki mereka dipintas tentera Israel sebelum dilayan dengan kejam sepanjang menjadi tahanan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok