‘Baju digunting, di penjara dia tak benarkan saya berhijab’

PENYANYI dan aktivis kemanusiaan misi Global Sumud Global Flotilla (GSF) ke Gaza, Zizi Kirana berkongsi pengalaman pahit apabila dirinya dipaksa membuka tudung dan stoking sehingga mendedahkan auratnya sewaktu ditahan tentera Israel.

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata detik itu membuatkan dirinya hanya mampu berdoa agar rejim Zionis menerima balasan setimpal atas kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam.

“Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stoking dan kasut tapi saya cakap tak nak buka stokin. Namun dia paksa juga, saya kata haram.

Dia paksa pula buka tudung, saya cakap saya muslim, haram untuk saya buka hijab. Saya pegang tudung saya sambil ada orang tarik dari belakang, sampai kawan-kawan satu kapal saya menangis, mereka jerit untuk saya kuat.

“Ketika itu saya doa berilah balasan yang paling setimpal dengan kezaliman yang mereka buat terhadap seluruh umat Islam di dunia ini,” katanya dalam sebuah temu bual.

Pada masa sama, pelantun lagu Eh itu dengan tenang menghadapi tentera Israel yang mengenalinya menerusi media sosial.

Deritanya tidak terhenti di situ, dia memaklumkan dipaksa buka tudung sepanjang berada dalam penjara.

“Dia cakap nampak saya di TikTok dan Instagram, sangat dikenali. Saya tengok saja dengan senyuman sinis walaupun dalam hati cakap ‘Ya Allah, inilah makluk paling zalim dalam muka bumi aku tengah hadap.

Tapi saya perlu tenang supaya benda itu tak ganggu emosi dan saya tak nak jadi masalah lain yan memudaratkan diri.

“Sampailah sebelum naik bas ke penjara, sekali lagi hijab saya di tarik. Baju saya bahagian dalam di gunting sebab dia tak nak ada baju lain. Kasut dan stoking dah dibuka.

Sampai ke penjara, dia suruh tukar baju penjara. Di sana kami dipenjara dan betul-betul dia tak benarkan saya pakai hijab,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia sempat bertentang mata dengan tentera Israel dan melihat sendiri ketakutan yang cuba diselindungkan musuh.

Mereka takut sebenarnya, saya boleh nampak sebab saya bertentang mata dengan mereka. Ada satu masa dalam kapal ruang dah sempit tiada tempat duduk. Saya duduk berhadapan laknatullah dan bertentangan mata.

“Dalam hati cakap ‘Ya Allah tolong hapuskan dari muka bumi Dia pun sampai cakap kenapa saya pandang.

“Saya hanya respons ‘Apa?’ Sebab itu kot dia bagi saya paling akhir keluar dari kapal,” ujarnya lagi.

Semalam, akaun Instagram Zizi Kembali aktif selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel dan berkongsi swafoto diri berserta ucapan alhamdulillah.

Zizi bersama 22 lagi aktivitis kemanusiaan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla dibebaskan daripada tahanan Israel kelmarin.

Kesemua mereka dihantar pulang menaiki pesawat komersial dari Israel ke Istanbul, Turkiye bersama aktivitis daripada beberapa negara lain.

Selain Zizi, aktivis lain yang terlibat ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardell Aryana, Farah Lee dan PU Rahmat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok