Rahsia usia sebenar demi bergelar selebriti popular

Kehebatan industri hiburan Korea diiktiraf seantero dunia, namun di sebalik kisah manis itu tersimpan kisah tidak terduga.

Antara rahsia paling mengejutkan adalah tindakan selebriti memalsukan usia, sama ada untuk kelihatan lebih muda ketika debut atau terpaksa menambah angka demi memenuhi syarat ditetapkan agensi. 

Senario tersebut mendedahkan sisi lain pentas seni yang sarat dengan tekanan. Demi karier, deretan selebriti terpaksa mengorbankan kejujuran peribadi. 

Bagaimanapun, ramai artis tetap berjaya mengekalkan pengaruh serta populariti, malah ada yang lebih dihormati setelah berterus-terang mengenai usia sebenar.

Kimchi Panas minggu ini menyingkap lima nama selebriti terkenal yang pernah menyembunyikan usia sebenar demi survival dunia hiburan.

  • Lee Si-young

Aktres berkarisma ini pernah menggemparkan peminat apabila mengaku usia sebenarnya lebih tua berbanding catatan rasmi. 

Dalam profil Si-young tertera lahir pada 1984, sedangkan hakikatnya dia dilahirkan pada 1982.

Pelakon yang terkenal dengan watak lasak itu mengakui terpaksa berbuat demikian kerana agak lewat untuk bergelar pelakon. 

Katanya, memalsukan usia jalan singkat untuk kelihatan lebih ‘ideal’ sebagai pendatang baharu.

Langkah itu nyata berisiko, namun bintang filem No Mercy itu terus mara dengan bakat luar biasa, malah kariernya melakar deretan kejayaan, sekali gus membuktikan umur bukan penghalang.

Kini, Si-young dilihat lebih matang, malah dikenali sebagai artis berdisiplin tinggi dengan reputasi bersih dalam industri.

  • Narsha

Ketika debut bersama kumpulan Brown Eyed Girls pada 2006, Narsha memperkenalkan dirinya sebagai gadis berusia 23 tahun walhal sudah berumur 25 tahun.

Idola jelita itu kemudian tampil berterus-terang mengubah usia kerana bimbang dilihat terlalu berusia untuk seorang idola baharu. 

Dalam dunia K-pop yang mengutamakan imej muda, langkah itu dianggap cara paling selamat jika mahu menambat hati peminat.

Namun, apabila kebenaran terbongkar, reaksi peminat tidak seperti dijangka. Ramai memuji keberanian pelantun lagu Queen B itu mendedahkan usia sebenarnya.  

Sejak itu, kariernya semakin kukuh sekali gus membuktikan bahawa kejujuran dan bakat tulen lebih berharga daripada angka usia.

  • Yoon Mirae

Penyanyi rap wanita penuh aura ini pernah melakar sejarah tersendiri dalam dunia K-pop. 

Saat debut bersama kumpulan Uptown, Mirae sebenarnya baru berusia 16 tahun.

Namun, demi mengelakkan kontroversi, agensinya menambah empat tahun tua daripada usia sebenar. 

Dalam profil rasmi, pelantun lagu Always itu dipaparkan seolah-olah sudah dewasa, sedangkan masih anak remaja.

Langkah tersebut dilihat sebagai strategi agar imejnya lebih sesuai dengan konsep kumpulan. 

Kini, pemenang R&B Category Award dalam SBS Gayo Daejeon itu berdiri megah sebagai antara rapper wanita terbaik Korea.

  • Han So-hee

Han So-hee pernah mengejutkan peminat apabila terbongkar usianya tidak sepadan dengan catatan rasmi. 

Khalayak menyangka dia lahir pada 1994 sedangkan sebenarnya 1993.

Enggan terus dikecam, agensinya segera tampil menjernihkan keadaan dan menjelaskan kesilapan tersebut berpunca daripada kisah lampau keluarga aktres jelita itu.

Ketika kecil, ibu bintang drama Nevertheless itu pernah dipenjara, menyebabkan So-hee berpindah ke Ulsan dan terpaksa berhenti sekolah selama setahun.

Apabila kembali bersekolah di Wonju, pihak sekolah tersilap mencatat tarikh lahirnya. Kesilapan itulah yang kemudian terbawa-bawa sehingga dia bergelar artis.

Meski kisah itu mencetuskan tanda tanya, peminat tetap menyokongnya. Bagi mereka, kejujuran So-hee tentang masa lalu membuktikan dia insan tabah yang mengharungi pelbagai dugaan sebelum bergelar bintang ternama.

  • Kim Wan-sun

Dikenali sebagai ‘Madonna Korea’, Kim Wan-sun mempunyai cerita berbeza yang perlu penulis masukkan dalam senarai Kimchi Panas minggu ini.

Wujud kisah pahit manis pada awal kemunculannya sekitar 1986 apabila agensi sengaja menambah usianya agar kelihatan lebih sesuai dengan konsep seksi yang dibawakan. 

Realitinya, ketika itu dia baru berusia 17 tahun.

Demi melindungi Wan-sun daripada menjadi mangsa kecaman, agensi memutuskan menambah dua tahun pada profil usianya. 

Taktik itu ternyata berhasil biarpun pada akhirnya terbongkar. 

Menurut agensi itu adalah langkah terbaik demi perkembangan karier Wan-sun. 

Kini, pelantun lagu Dance in the Rhythm itu disanjung sebagai penghibur legenda K-pop dan usia palsu yang pernah tercatat dalam sejarah kariernya tidak mampu mengaburi bakat serta pengaruh besar dimilikinya.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok