‘Tak perlu libat imej isteri’ – Foto jari tengah, Shukri mohon maaf

PELAKON Shukri Yahaya memohon maaf atas keterlanjurannya membuat aksi dengan menunjukkan jari tengah dalam sekeping foto yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Shukri atau nama penuhnya Mohd. Shukri Yahaya, 38, berkata, tindakan menunjukkan aksi jari tengah tersebut adalah gelagat spontan yang dilakukan ketika merakam momen bersama rakan-rakan di sebuah acara baru-baru ini.

“Sedikit nakallah. Sebenarnya foto tersebut diambil ketika bertemu dengan kawan-kawan rapat yang sudah lama tak jumpa dan saya sendiri okey bila Andy Teh mahu muat naik dalam media sosial.

“Kemudian ada pula seorang hamba Allah yang cuba mencetuskan isu daripada foto tersebut dan disebabkan itu, saya ambil tindakan pantas dengan minta Andy memadamnya sebab orang tidak suka.

“Jadi, saya minta maaf dan akui itu kesalahan sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

Ditemui pada majlis tayangan perdana filem Chelot lakonannya, Shukri bagaimanapun mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang cuba membesar-besarkan isu foto tersebut.

“Cuma nak tanya semula, foto tersebut dimuat naik dalam kalangan kawan-kawan saya dan juga dikongsi menerusi akaun media sosial saya yang majoritinya ialah golongan dewasa dan boleh berfikir hal baik atau buruk.

“Jadi, kenapa benda ini harus dibesarkan segelintir pihak yang katanya bimbang anak-anak akan terikut-ikut,” katanya lagi.

Dia juga menyarankan individu yang mengecamnya lebih peka dan mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak mereka agar menonton kandungan mengikut klasifikasi umur.

“Bagi saya, daripada menegur ataupun mencari kesalahan orang lain, lebih baik menasihati atau kawal penggunaan media sosial anak-anak mereka.

“Saya percaya yang pengikut media sosial saya adalah manusia yang berakal yang boleh bezakan mana satu baik dan buruk,” ujar bapa kepada dua orang cahaya mata itu,

Dalam masa sama, dia turut kesal apabila wujud pihak cuba mengaitkan isu foto tersebut dengan penampilan isterinya, Tya Adnan yang kini sudah berpurdah.

“Kenapa nak libatkan dengan penampilan isteri sedangkan saya sendiri tidak pernah campur aduk hal peribadi dengan kerjaya atau semua yang berlaku dalam media sosial. Orang kata boleh merosakkan akhlak, percaya ke benda begitu?

“Daripada risau rosakkan akhlak budak-budak, lebih baik mereka bimbang dan pantau kandungan yang ditonton oleh anak-anak. Kawal penggunaan media sosial.

“Cuma kepada yang terasa, saya minta maaf dan anggap saja itu gambar AI. Saya pun sudah beri respons pantas dengan memadam foto tersebut tetapi pula pihak yang tetap teruskan niat mengecam,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, filem Chelot yang dibintanginya bersama barisan pelakon hebat lain seperti Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Azhan Rani dan Alicia Amin bakal ditayangkan dipawagam seluruh negara pada 27 Ogos depan.

Dalam naskhah hasil arahan Adrian Teh itu, Shukri memegang watak Haqqim iaitu seorang anggota polis yang menyiasat mengenai sindiket penyeludupan senjata api.

Terdahulu, Shukri mengundang kecaman ramai apabila tular sekeping foto memaparkannya menunjukkan jari tengah ketika bergambar dengan beberapa pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad, Andy Teh dan Syafiq Kyle.

Situasi tersebut membuatkan ramai pihak kecewa selain menasihatkan Shukri tidak melakukan aksi sedemikian lagi kerana bimbang memberi contoh buruk kepada generasi muda. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok