PASANGAN selebriti, Janna Nick dan Dini Schatzmann kini rancak meninjau rumah sewa di London, United Kingdom selepas memutuskan untuk berpindah sementara ke sana.
Menurut Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 30, proses menyewa rumah United Kingdom (UK) jauh lebih rumit daripada yang disangka kerana terdapat beberapa syarat ketat perlu dipatuhi.
“Pendapatan kena dua setengah kali ganda lebih tinggi daripada sewa rumah. Mesti ada visa sah untuk menetap di UK.
UK guarantor juga diperlukan, kalau tiada biasanya kena bayar enam bulan hingga setahun sewa sekali gus.
“Kena sentiasa follow up dengan ejen hartanah,” katanya dalam TikTok.
Menerusi hantaran sama, pasangan terbabit turut berkongsi pengalaman mereka ketika meninjau beberapa unit kediaman sekitar London dan begitu teliti menilai sebelum membuat keputusan.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan ramai adalah harga sewa kediaman di kawasan berkenaan mencecah RM15,000 hingga RM17,000 sebulan.
Perkara itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata terkesima dengan jumlah sewa terbabit.
“Patutlah ramai pelajar Malaysia pilih kongsi rumah, kalau nak sewa sendiri memang tak termampu,” ujar seorang netizen.
“Betullah kata orang, London bukan tempat untuk sesiapa yang tak bersedia kewangan. Kena betul-betul kukuh bajet,” tambah seorang lagi.
Terdahulu, pelakon filem Jemputan Dari Neraka itu memaklumkan dia dan suami akan berpindah ke luar negara buat sementara waktu bagi menyambung pelajaran. – HIBGLAM