PELAKON dan penyanyi Erra Fazira menepis khabar angin bakal mendirikan rumah tangga dengan usahawan Ezwan Zain pada Oktober depan.
Menurut Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek, 51, tiada sebarang tarikh sudah ditetapkan bahkan kedua belah keluarga juga belum bertemu untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai hari bahagia yang dinanti ramai itu.
“Oktober? Kalau bulan depan, saya sudah tiada di program ini dan pasti sedang sibuk buat persiapan.
“Sebenarnya keluarga kami berdua pun tidak tahu apa-apa tentang tarikh kahwin atau sebagainya.
“Semua khabar angin itu, tentang kami berdua sudah merancang dan sebagainya, saya gelarkan sekadar angan-angan bersama.
“Tiba-tiba kalau kami merancang itu ini tetapi keluarga tak tahu, pasti mereka akan kecil hati. Buat masa sekarang belum sampai ke tahap itu,” katanya kepada HibGlam pada program riadah bersama media, hari ini.
Dalam masa sama, Erra mengakui menerima tawaran tajaan daripada beberapa pihak namun masih tidak dapat memberi sebarang kata putus kerana belum mempunyai takrih pernikahan.
“Ada juga pihak-pihak yang berminat untuk menaja majlis perkahwinan saya tetapi tidak boleh kata ya sebab memang tiada tarikh.
“Saya ambil maklum pihak yang menyatakan hasrat mahu menaja. Kalau sudah ada tarikh, keluarga pun beri lampu hijau, saya akan ‘lock’ dan maklumkan,” ujarnya.
Ditanya sama ada berasa tertekan dengan jangkaan ramai terhadap hubungan peribadinya, Erra memberitahu dia menjalani fasa tersebut dengan matang dan berlapang dada membaca segala penerimaan serta komen dalam media sosial.
“Saya rasa benda begini bukan baru bagi saya. Kami kalau boleh nak hubungan lebih matang.
“Buat masa ini, kami mohon doa dan restu, kemudian semuanya pasti akan berjalan yang ditakdirkan,” katanya lagi.
Terdahulu, heboh desas-desus mengenai tarikh pernikahan Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu dengan Ezwan atau Mr. E yang didakwa semakin hampir iaitu pada Oktober ini.
Erra sebelum ini pernah mengakui meninjau beberapa dewan acara atas pelawaan rakan namun menafikan membuat sebarang tempahan mahupun mengesahkan khabar angin tersebut.
Sebelum ini Erra memaklumkan persahabatan dengan Mr. E yang semakin akrab sekitar awal tahun ini sudah ke peringkat pengetahuan keluarga apabila ibunya bertemu lelaki terbabit.
Mr. E pula mengakui mula menjalinkan hubungan serius dengan ratu cantik berkenaan selepas berkenalan pada Ogos 2024.
Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah tujuh tahun kemudian dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.
Sebelum itu, dia juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berakhir dengan perceraian tiga tahun kemudian tanpa cahaya mata. – HIBGLAM