PENYANYI dan pengurus, Siti Saerah enggan mengulas hantaran bekas suaminya dalam Instagram yang mendakwa dia mengerah anak-anaknya iaitu Amad dan Umairah bekerja.
Menurut Saerah atau nama lengkapnya Siti Nursairah Tarudin 42, hal keluarga lebih baik disimpan sendiri daripada menjadi tatapan umum.
“Saya tidak mahu komen tentang perkara ini. Keutamaan saya adalah menjaga mental anak-anak. Saya tidak mahu perkara ini menganggu mental mereka.
Saya harap orang di luar sana tidak bertanya tentang hal keluarga kerana perkara itu boleh memberi tekanan kepada anak-anak saya dan juga saya sendiri.
“Diri saya sendiri sebenarnya sudah jatuh ke jurang paling dalam. Tetapi saya kena kuat. Saya tak boleh tunjuk kepada anak-anaknya yang saya tak kuat,” katanya ketika ditemui selepas tamat konsert Talk To My Manager, di sini, semalam.
Tambah adik kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu lagi, dia bukanlah individu yang suka bercerita tentang hal peribadi.
Saya bukanlah manusia yang suka bercerita. Allah sudah menentukan takdir masing-masing. Apa yang saya lalui, orang tak tahu. Biarlah pihak sana nak berkata apa pun.
“Pada saya, cukup saya mengunci mulut supaya saya dan anak-anak hidup tenang. Saya sudah mengajar anak-anak supaya hidup sayang ibu dan bapa. Itu yang paling penting,” jelasnya.
Pada konsert minggu kelima yang berlangsung semalam, Amad dilihat menangis sewaktu membuat persembahan menyampaikan lagu Mama Papa Larang sehingga tidak mampu menyempurnakan persembahannya dengan baik.
Ditanya adakah Amad terganggu dengan kemelut keluarga yang berlaku, kata Saerah perkara tersebut terlalu peribadi untuk dikongsikan. Namun katanya Amad berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
Terdahulu, bekas suami Saerah yang dikenali sebagai Saiful Anuar Ahmad Shafie, membuat hantaran mengejutkan ramai apabila mendedahkan dia tidak dapat bertemu anak-anaknya selain mendakwa anaknya dikerah untuk bekerja dan pernah dilempang.
Walaubagaimanapun, hantaran itu telah dipadam. – HIBGLAM