6 pagi sudah tiba di mahkamah, solat Subuh di sini – Naim Daniel

LEBIH ceria, penyanyi dan komposer Naim Daniel memaklumkan diri dan mentalnya berada dalam baik meskipun perlu melalui proses mahkamah hampir setiap bulan berhubung kes dakwaan amang seksual terhadap remaja bawah umur.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, bersyukur segala urusan berkaitan kes mahkamah berjalan lancar selain terharu dengan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.

“Saya tiba seawal pukul enam pagi di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini dan menunaikan solat Subuh di sini.

“Alhamdulillah, segala urusan hari ini berjalan lancar dan semua pihak memberikan kerjasama yang baik.

“Saya juga berada dalam keadaan yang baik sekarang,” katanya kepada HibGlam di sini hari ini.

Meski perlu turun naik mahkamah setiap bulan, Naim memberitahu kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa sedang sibuk dalam rangka promosi single baharunya yang akan dilancarkan hujung bulan ini.

“Buat masa ini, saya sedang fokus kepada penghasilan lagu baharu. Proses rakaman hampir selesai dan insya-Allah akan dilancarkan hujung bulan ini.

“Saya anggap ini sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka dan sentiasa mendoakan kebaikan buat semua kerana masih menyokong serta mendengarkan karya saya.

“Buat masa ini, fokus saya hanya kepada kerja dan ingin terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik,” katanya lagi.

Hari ini, mahkamah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.

Naim yang diwakili Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique juga memaklumkan akan membuat permohonan bantahan perbicaraan dilakukan secara ‘video link’ yang dimohon oleh pihak pendakwaan hari ini.

Terdahulu, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, pada 17 Jun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Purnama itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Sebelum ini, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok