BAGAI kembali ke masa lalu, ciapan lama penyanyi Amira Othman yang dikongsikan pada 2017 mengenai perkahwinan pelakon Fattah Amin dan Fazura kini tular semula.
Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 31, ketika itu menitipkan ucapan tahniah menerusi platform X kepada pasangan terbabit yang baru mendirikan rumah tangga.
Tahniah Fattah & Fazura, jodoh itu rahsia Allah,” tulis Amira yang kini ‘dikorek’ semula netizen selepas dia bergelar isteri kepada Fattah pada 14 September lalu.

TANGKAP layar ucapan Amira buat Fattah dan Fazura yang melangsungkan perkahwinan pada 27 November 2017.
Menyelongkar lagi hantaran lain, netizen juga menjumpai satu lagi ciapan Amira pada awal tahun sama yang menyebut tentang Fattah dengan seorang lagi selebriti iaitu Neelofa.
Alamak sweet (manis) pula Fattah dan Neelofa ni. Hehehehehe #Meletop,” tulis Amira.
Penemuan-penemuan yang kemudian dikongsikan di laman maya tersebut sekali gus membuatkan ramai peminat teruja memandangkan lapan tahun kemudian aktor terbabit kini menjadi miliknya.
Rata-rata menyifatkankan jodoh tertulis antaranya dengan Fattah seperti diucapkan Amira sendiri sebagai bukti kebesaran terhadap kuasa Allah.
Malah ramai netizen memaklumkan Amira yang asalnya hanya sebagai peminat Fattah akhirnya ditakdirkan hidup sebagai isteri lelaki itu.
Lapan tahun kemudian jadi jodoh diri sendiri. Sebab itu kita kena doa baik-baik,” ujar seorang pemilik akaun Threads.
“Betullah kata Amira. Jodoh rahsia Allah. Sekarang dia pula berjodoh dengan Fattah,” kata pengikutnya yang lain.
“Member wish, member dapat,” tulis pengguna Threads yang lain pula.
Terdahulu, pasangan terbabit disatukan di sebuah pusat peranginan di Sepang, Selangor pada 14 September lalu serentak ulang tahun ke-35 pengantin lelaki.
Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan Fazura pada 27 November 2017 sebelum bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM