PENYANYI Zizi Kirana memohon orang ramai mendoakan perjuangannya apabila Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertainya kembali berlayar menuju ke Gaza, Palestin hari ini.
Menurut Zizi atau nama penuhnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, pelayaran tersebut diteruskan selepas meninggalkan pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia.
“Saya dah memulakan kembali pelayaran menuju ke Gaza.
Di sini, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan dan kekurangan yang pernah dilakukan selama hidup saya.
“Mohon halalkan segala-galanya, doakan kami sampai ke Gaza. Bismillah, Insya-Allah,” ujarnya dalam platform Threads.

TANGKAP layar perkongsian terkini Zizi mengenai pelayaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. – INSTAGRAM
Perkongsian tersebut seterusnya dihujani dengan doa daripada netizen yang berharap perjuangan Zizi ke Gaza sentiada dilindungi dan selamat.
“Kami berdoa tanpa henti untuk kalian yang berjuang ke Gaza.
Semoga Tuhan lindungi Zizi di Palestin dan selamat pulang ke tanah air!
“Sampaikan salam kami ke Gaza, Allah SWT sentiasa bersama kalian,” komen netizen.
Selain Zizi, aktivis lain yang menyertai misi bantuan kemanusiaan bersama aktivis pro-Palestin GSF sejak 29 Ogos lalu terdiri daripada tiga wanita termasuk pelakon Ardell Aryana.
Difahamkan, sekitar 20 kapal berlayar dari pelabuhan di Sepanyol pada Ahad minggu lalu dengan misi membuka koridor kemanusiaan dan menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dalam kemelut Israel-Hamas.
Semua rombongan dijangka tiba di Gaza pada pertengahan September ini selepas dua cubaan terdahulu membawa bantuan ke wilayah berkenaan pada Jun dan Julai lalu dihalang Israel.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengisytiharkan krisis kebuluran di Gaza dengan amaran lebih 500,000 penduduk kini berada dalam keadaan amat kritikal. – HIBGLAM