NAMANYA kembali menggelegak natijah kontroversi yang melanda seorang selebriti seangkatan dengannya.
Gara-gara kontroversi kisah panas tersebut, nama pelakon dan model, Haneesya turut terpalit, sekali gus luka lamanya kembali berdarah.
Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menangguk di air yang keruh, apatah lagi seboleh-bolehnya dia mahu melenyapkan trauma lalu yang masih menghantui hidupnya.
Beberapa hari lalu juga, Haneesya membuat keputusan besar dalam hidup dan karier seninya apabila memilih untuk menukar nama pentas daripada Haneesya Hanee kepada Sharifah Haneesya.
“Sebenarnya ‘mummy’ yang sarankan supaya saya tukar nama. Mulanya saya risau, lama saya fikir sebelum ambil keputusan tukar nama. Maklumlah sudah bertahun-tahun orang kenal saya sebagai Haneesya Hanee. Lagi pun Sharifah itu keturunan daripada sebelah bapa.
Selama ini saya memang tidak mahu menggunakan nama itu kerana tidak mahu ada kaitan dengannya selepas bapa tinggalkan kami sekeluarga. Saya bina nama saya sendiri atas hasil kerja keras bersama mummy. Tetapi bila difikirkan semula nama itu mummy yang beri. Saya cuba teruskan legasi moyang saya iaitu seniwati Zaharab Agus
“Tetapi selepas fikir masak-masak, rasanya inilah keputusan paling tepat. Ini ‘fresh start’ untuk saya,” katanya membuka bicara.
Ternyata langkah berani yang diambilnya menunjukkan tanda positif. Ramai tampil memberi sokongan, termasuklah rakan selebriti.
“Respons yang diterima selepas umumkan pertukaran nama sangat positif. Ini menunjukkan keputusan saya adalah tepat.
Kalau dahulu, buka Instagram saya rasa sedih dan murung, tetapi kini saya rasa ‘overwhelmed’ pula. Rasa lebih bersemangat. Ramai baru tahu nama sebenar saya ialah Sharifah Hanee” katanya.
Menutup buka lama dan membuka lembaran baharu, jelitawan berkulit hitam manis itu yakin bahawa ada kemanisan menanti pada helaian akan datang.
“Sejujurnya, saya baru mahu menarik nafas lega selepas beberapa drama lakonan saya yang ditayangkan mendapat sambutan hangat. Tiba-tiba, nama kembali diperkatakan, kisah silam saya diungkit semula.
Kalau cari nama saya dalam TikTok, semua tentang kisah silam. Bertahun-tahun juga pencarian itu kekal sebelum berubah sejak tahun ini apabila banyak lakonan saya disiarkan. Kini, tiba-tiba pencarian kembali kecoh dengan kisah lama saya.
“Akhirnya setelah bertahun-tahun memendam rasa, saya dedah tentang apa sebenarnya berlaku dalam sebuah rancangan yang dikendalikan Elly Mazlein baru-baru ini,” jelasnya.
Ditanya kenapa tidak dari dahulu dia bersuara, anak sulung daripada tiga beradik itu yakin tiada siapa yang akan percaya dan berpihak kepadanya ketika itu.
“Saya fikir sudah buat keputusan yang tepat tak dedahkan apa sebenarnya yang berlaku. Saya ingat pesanan seorang usahawan kepada saya. Katanya selagi anda tidak menjadi ‘somebody’, jangan beritahu orang segala kesusahan yang anda pernah lalui.
Orang tak nak tahu pun. Bila anda dah jadi ‘somebody’ baru orang akan dengar.
“Saya pegang kata-kata itu. Bila saya beritahu perkara sebenar ramai yang terkejut.
“Mereka mesej saya secara peribadi minta maaf, termasuklah seorang mak cik yang pernah mengumpat saya bersama jirannya,” kongsi Haneesya.
Hampir tinggalkan dunia seni
Jatuh tersungkur kemudian kembali bangkit melangkah seperti tiada apa-apa yang berlaku bukannya perkara mudah.
Biarpun rebah menyembah bumi, meratap sehingga basah pipi, namun siapa yang dapat menduga percaturan Tuhan.
Saat dia hampir putus asa dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni yang dicintai, tiba-tiba hadir satu tawaran besar yang membuatkan bakatnya kembali diperkatakan.
Saya tak ada tawaran lakonan sampai rasa nak berhenti dan cari kerja lain. Saya sudah fikir nak jadi pramugari dan hampir mohon kerja itu.
“Saya berdoa, sekiranya tiada satu pun tawaran lakonan tahun ini, saya akan berhenti terus jadi pelakon.
“Tiba-tiba saya dapat tawaran watak Dahlia dalam drama Dia Imamku. That’s my turning point. Tuhan pun tak mahu saya berhenti dalam bidang ini. Jadi saya ambil keputusan teruskan,” kongsinya.
Bercerita tentang watak Dahlia yang mendapat perhatian ramai, kata Haneesya, pada mulanya dia takut melakonkan watak itu.
Saya perlu jadi jahat dan kelihatan buruk dalam drama tersebut. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah komen-komen netizen. Mereka pasti akan kaitkan dengan warna kulit dan sebagainya.
“Mummy yakinkan saya supaya sahut cabaran. Alhamdulillah saya berjaya melakonkan watak Dahlia dan dapat berlakon di samping pelakon-pelakon hebat seperti Khatijah Tan, Fazlina Ahmad Daud dan Siti Saleha,” jelasnya yang mengidamkan watak wanita teraniaya pula selepas ini.
Tolak watak ‘daring’
Ketika namanya masih hangat diperkatakan tentang isu panas, Haneesya sempat dilayangkan tawaran untuk membintangi filem Pulau. Namun, tawaran itu terpaksa dilepaskan kerana enggan terus-menerus dihambat kontroversi.
“Watak yang ditawarkan kepada saya agak kurang sesuai untuk pelakon beragama Islam. Saya diminta pakai bikini dan melakonkan babak panas dengan pelakon lelaki. Ketika itu saya berusia 19 tahun.
Jadi saya beritahu mereka saya tidak boleh melakukan semua yang dituntut. Kemudian mereka mula membuat perbandingan dengan pelakon Indonesia dan Turkiye.
“Kata mereka sekarang sudah ada ‘urban Muslim’. Jawapan saya there is no such thing as urban muslim but only Muslim who does sin. Jadi tolong jangan bandingkan. Saya kecewa kerana mereka tawarkan watak itu semata-mata kerana kontroversi saya,” dedahnya.
Ketika bakatnya dikatakan tidak dihargai di negara sendiri, ramai yang mencadangkan agar dia melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa sebagai model mahupun pelakon.
Luar negara
Namun, kata Haneesya dia masih berpijak di bumi nyata dan mengakui banyak faktor menghalangnya daripada menembusi pasaran antarabangsa.
“Memang ramai sarankan saya pergi ke luar negara. Tetapi adakah mereka tahu bagaimana caranya? Semua itu memerlukan kos tinggi, saya tak mampu.
Kalau saya tahu dan ada duit mungkin dah lama saya pergi kerana saya ada kenalan jurusolek yang tinggal di Los Angeles.
“Sejak 2020 dia minta saya ke sana, tinggal bersamanya buat sementara. Tetapi saya tiada duit. Semua itu perlu modal.
Kalau saya anak orang kaya tak apalah. Kita pun kais pagi makan pagi,” ujarnya.
Selain faktor kewangan, Haneesya turut mengambil kira soal latar budaya dan beza agama.
“Saya tanya diri sendiri sama ada iman kuat atau tidak? Saya jawab, tidak kuat.
Jadi saya tak pergi. Saya tahu diri saya macam mana. Kalau di sini pun sampai viral sebab pergi kelab malam, kalau di sana mungkin jadi syaitan agaknya. Di sana mereka lebih terbuka.
“Di Malaysia kalau pakai seksi sikit pun netizen sudah mula menggelupur, bayangkan kalau di sana. Jadi saya kena realistik.
“Kehidupan saya mungkin akan jadi berbeza jika saya menetap di luar negara. Saya juga tidak bersedia untuk tinggalkan keluarga di sini,” katanya yang pernah mendapat tawaran peragaan daripada sebuah agensi di New York tidak lama dahulu. – HIBGLAM