SAAT perkhabaran mengenai dua band legenda, Search dan XPDC bakal bergabung dalam sebuah konsert yang dinamakan konsert Fenomena Samurai, peminat sudah teruja.
Apatah lagi konsert anjuran Seri Simfoni Sdn. Bhd. dan Bintang Batu Event tersebut julung kalinya menampilkan Search dan di Kuching, Sarawak pada 13 Disember 2025.
Ditebak apakah yang membuatkan penganjur berani untuk mengadakan konsert berskala besar di Stadium Kuching yang boleh memuatkan 50,000 penonton, jawapannya sudah tentu kerana yakin dengan pengaruh dan jenama dua band legenda itu.
“Pertama, dua band ini tidak pernah disatukan dalam sebuah konsert di Kuching, Sarawak, kedua melihat kepada penganjuran konsert mereka di Kuala Lumpur dan Johor Bahru sentiasa penuh, jadi pihak kami yakin dengan mereka.
Kuching dipilih kerana permintaan daripada peminat sendiri. Saya akui cabaran yang terpaksa dihadapi adalah daripada segi logistik.
“Kos akan meningkat dua kali ganda, tetapi kami yakin bahawa konsert ini akan mendapat sambutan,” ujar Ikhram atau Atom mewakili Seri Simfoni Sdn. Bhd. dan Bintang Batu Event.

MELETAKKAN Pasha (tengah) sebagai vokalis, Search yakin jenama kumpulan yang sudah berdekad mewarnai dunia rock itu mampu menghimpun ramai peminat di Kuching nanti.
Sementara itu, bagi Search berada satu pentas dengan XPDC adalah sesuatu yang mengujakan sementelah ini kali kedua mereka menampilkan Pasha, selaku vokalis.
“Apa yang pasti akan ada banyak kejutan nanti. Tentang Pasha, kami selesa dengan caranya bekerja dan dia ada ketahanan yang tinggi.
Sejujurnya kami tidaklah terlalu memilih penyanyi, mana yang sesuai kami okey saja. Lagi pun kami sebuah band yang berpengalaman bukannya baru dalam industri, jadi kita sudah tahu bagaimana untuk mencorakkan sesebuah persembahan.
“Bersama Pasha banyak perkara baharu yang kami belajar daripadanya. Selain kami juga berkongsi ilmu yang kami miliki kepada Pasha. Senang kata, serasi untuk bekerja,” kata Din sewaktu ditemui pada sidang media konsert Fenomena Samurai di Top G Coffee & Café baru-baru ini.
Bercakap tentang persembahan XPDC, Lola mewakili XPDC mengatakan mereka menerima banyak permintaan lagu daripada peminat yang belum pernah mereka bawakan sebelum ini.
XPDC menerima banyak permintaan peminat di media sosial untuk menyanyikan lagu yang tidak pernah kami bawakan. Permintaan peminat adalah keutamaan kami.
“Apa yang pasti konsert Fenomena Samurai akan mencipta kelainan dan penuh kejutan. Mungkin ada lagu yang kami akan berduet dengan Search, lagu apa masih belum dikongsi,” ujar Lola.

KUMPULAN XPDC yang kini dianggotai (dari kiri) Arif, Mamu, izo, Eddie dan Lola.
Konsert Fenomena Samurai akan menyaksikan Search dan XPDC masing-masing beraksi selama satu jam setengah dan membawakan sekitar 15 atau 16 buah lagu bermula pukul 8 malam.
Acara akan bermula seawal pukul 2 petang apabila penganjur dengan bangga memberi pentas kepada bakat tempatan dari Sarawak untuk menghiburkan pengunjung terlebih dahulu.
Untuk yang berminat, jualan awal atau Early bird konsert Fenomena Samurai mengikut kategori RM250 (VIP), RM188 (MOSH), RM104 (BERDIRI), RM160 (SILVER), RM90 (BRONZE) boleh diperoleh menerusi: http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/.
Tiket-tiket harga biasa konsert Fenomena Samurai boleh dibeli bermula dengan RM359 (VIP), RM269 (MOSH), RM149 (BERDIRI), RM229 (SILVER) RM129 (BRONZE). – HIBGLAM