USAHA murni jadi bahan perdebatan, penyanyi Zizi Kirana menzahirkan perasaan terkilan atas pandangan negatif segelintir netizen yang mempertikaikan penyertaan selebriti dalam misi bantuan kemanusiaan di Gaza.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata, sewajarnya semua pihak memberi fokus terhadap matlamat utama misi global yang digerakkan sebagai cara untuk dunia melihat lebih dekat penjarahan kejam di Palestin.
“Sedikit kecewa dengan pemikiran orang yang tak habis-habis dengan pertikaian.
“Pertikai kenapa artis pergi misi, belum lagi ada yang pertikaikan hukum wanita pergi misi.
“Dah terang-terang mufti bagi jawapan (tapi) tak nak dengar,” katanya dalam hantaran di InstaStory.
Menerusi hantaran lain, peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam pelayaran menuju Gaza itu juga berkongsi kenyataan wakil pertubuhan terbabit mengenai caj penyertaan.
Daripada perkongsian itu, jelas menunjukkan setiap ahli rombongan tidak ditaja sebaliknya membayar sendiri perjalanan mereka termasuk tiket penerbangan ke Barcelona sebelum menyambung pengembaraan dengan menaiki kapal layar.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu turur menzahirkan penghargaan terhadap mereka yang mendoakan dan memberikan sokongan.
Selain Zizi, aktivis lain yang menyertai misi bantuan kemanusiaan bersama aktivis pro-Palestin sejak 29 Ogos lalu terdiri daripada tiga wanita termasuk pelakon Ardell.
Difahamkan, sekitar 20 kapal belayar dari pelabuhan di Sepanyol pada Ahad minggu lalu dengan misi membuka koridor kemanusiaan dan menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dalam kemelut Israel-Hamas.
Semua rombongan dijangka tiba di Gaza pada pertengahan September ini selepas dua cubaan terdahulu membawa bantuan ke wilayah berkenaan pada Jun dan Julai lalu dihalang Israel.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengisytiharkan krisis kebuluran di Gaza dengan amaran lebih 500,000 penduduk kini berada dalam keadaan amat kritikal. – HIBGLAM