‘Percaya kata ibu, semoga Sharifah Haneesya bersinar terang’

MAHU buka lembaran baharu, pelakon Haneesya Hanee mengesahkan kini menggunakan nama sebenarnya iaitu Sharifah Haneesya dalam urusan kerjaya.

Pemilik nama lengkap Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, itu berharap saranan ibunya dapat meninggalkan sejarah lalu sekali gus memberi sinar terhadap masa depan kariernya.

“Hari ini saya buat keputusan untuk menukar nama kepada yang asal. Ibu tanya tak nak ke guna nama betul sebab saya pun nak buka buku baharu.

“Biarlah Haneesya Hanee diingati dengan cara sebegitu. Saya harap pakai nama sendiri membolehkan lebih banyak hal baik berlaku.

Insya-Allah. Saya percaya kata-kata seorang ibu. Kalau dia cakap, kita ikut sahajalah. Semoga Sharifah Haneesya bersinar terang,” katanya dalam Instagram.

Hantaran tersebut disertakan dengan dua foto bersama ibunya, Nor Hasnida, 55, yang menunjukkan kegembiraan dan wajah teruja mereka.

Dipercayai, tindakan menukar panggilan kepada Sharifah Haneesya berikutan namanya dipetik semula berkaitan kontroversi mahkota kemenangan dalam pertandingan ratu ditarik balik yang menjadi ungkitan.

Selepas lapan tahun, pelakon dan model berkenaan memilih untuk mendedahkan perkara sebenar berhubung isu video di kelab malam yang kembali tular, baru-baru ini.

Katanya, dia terpaksa bersuara memandangkan masih ramai yang terus membuat spekulasi liar berhubung kejadian itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok