TERUS mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi terbaik, Aina Abdul kini mendahului carta dengan sembilan pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Antara kategorinya adalah Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik, Kolaborasi Bersama Artis Luar Negara Terbaik, Album Terbaik, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.
Kemaraan tersebut membuktikan Aina atau nama lengkapnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31, bukan lagi penyanyi sebaliknya layak diiktiraf sebagai penghibur papan atas.
Selain ciptaan dan nyanyian sendiri, Aina turut tercalon dalam kategori Kolaborasi Bersama Artis Luar Negara Terbaik menerusi lagu Cinta Tak Pernah Tepat Waktu yang dinyanyikan dengan Fabio Asher.
Mengulas lanjut, dia mendedahkan bakal menghasilkan lebih banyak kolaborasi bersama artis seberang, selain akan kerap berkunjung ke Jakarta demi mencari inspirasi baharu.
“Sebenarnya memang banyak (kolaborasi artis luar) dan saya akan sering ke sana (Indonesia) kerana jumpa satu ilham yang seronok di Jakarta.
“Saya tak tahu, kota itu sebenarnya membantu saya. Karya-karya saya masih lahir di Malaysia tapi nak cari ilham memang kena menjelajah.
“Di Jakarta saya ada keluarga atau orang yang sentiasa bagi saya good vibes (aura baik) untuk saya menulis,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, pelantun lagu Sumpah itu memaklumkan tidak akan melancarkan sebarang album tahun ini kerana masih mencari bahan terbaik untuk dihadiahkan kepada pendengar.
“Saya tak rasa akan lancarkan album tahun ini. Sejujurnya saya tak sempat nak kumpul bahan baharu sebab selepas Imaji, saya kena buat sesuatu yang lebih baik dan berbeza.
“Kalau sama, baik kita dengar Imaji. Jadi, nak dapat ilham baharu kena sampai ke seberang, kota ilham,” jelasnya lagi.
Takut, kecewa
Baru-baru ini Aina terlibat dalam rancangan realiti Raise The Star Malaysia sebagai juri dan komposer lagu kepada juara, Didie Shazry. Dia juga memberikan karya miliknya kepada Didie berjudul Pegang Hati.
Namun, penyanyi berusia 32 tahun itu mengakui masih berdepan rasa bimbang untuk menyerahkan hasil ciptaannya kepada penyanyi lain.
“Saya takut nak buat lagu untuk orang tapi benda itu saya kena atasi. Sampai bila nak takutkan?
“Tapi saya dapat perasaaan baharu selepas Didi, saya akan bagi anak (lagu) saya kepada orang lain juga sebab saya perlu.
“Dia macam pergi buat pembentangan kerja dekat bos. Itulah saya fikir bila nak bagi lagu kepada orang,” tuturnya.
Menurutnya, kebimbangan tersebut timbul kerana dia terlalu memikirkan perasaan orang lain serta jangkaan penyanyi terhadap cara kerjanya di studio.
“Bila masuk studio, saya bukan Aina Abdul atau sesiapa. Saya takut nak bagi arahan dekat orang dalam studio sebab itu saya selalu arahkan diri sendiri saja. Kalau saya kecewa, saya kecewa dengan diri sendiri.
“Takut kecewakan orang ataupun orang nak saya lebih tegas tapi saya tak boleh sebab saya hormat orang.
“Banyaklah elemen buat saya takut nak bagi lagu dekat orang, tapi sekarang saya lebih berani,” tutupnya.