PENYANYI Wani Kayrie meluahkan rasa teruja apabila lagu terbaharunya, Cak Cak Cekuk dipilih sebagai salah satu persembahan utama sempena sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya hujung bulan ini.
Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Syafirah Abdullah, 25, keterujaan itu bertambah apabila adiknya, Wina Kayrie, turut terlibat dalam persembahan tersebut.
“Kenapa comel sangat ni? Lama saya simpan rahsia ini. Bila adik saya beritahu dia kena menyanyi lagu Cak Cak Cekuk untuk acara besar, saya terus rasa teruja dan tak sabar nak tengok persembahan mereka.
“Tengok video latihan sahaja sudah buat saya meremang. Ini hadiah besar sempena lagu tersebut mencapai satu juta tontonan juga. Alhamdulillah.
“Terima kasih kepada semua yang memilih Cak Cak Cekuk untuk jadi persembahan utama 31 Ogos nanti. Jom kita turun Putrajaya, beri sokongan penuh. Buat yang terbaik adik-adik semua” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Turut teruja, rata-rata peminat meninggalkan komen positif selain menyifatkan lagu tersebut sangat ‘catchy’ dan memiliki aura tersendiri.
“Lagu ni memang bersemangat, kita yang dengar jadi naik sheikh, tahniah Wani, dulu orang keji lagu ni, sekarang tengok di mana posisinya sekarang,” komen netizen.
“Tak sangka lagu tradisi boleh jadi se-‘catchy’ ini. Adik-adik yang buat koreografi pun nampak bersemangat,” tulis pengguna media sosial.
“Bangga bila anak muda bawa lagu bernuansa budaya lama ke pentas besar,” tulis peminat.
Untuk rekod, Cak Cak Cekuk merupakan karya terbitan Rocketfuel Entertainment ciptaan bersama Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.
Lagu pop moden dengan nuansa tradisional itu diinspirasikan daripada lagu rakyat popular Cak Cekur Udang Gamit yang disusun semula dengan sentuhan kontemporari. – HIBGLAM