HIDUP serba mewah, pelakon sensasi, Ruhainies sekali lagi menjadi perhatian selepas tampil mendedahkan jumlah pendapatannya mencecah RM100,000 sebulan.
Berkongsi tentang kerjaya hampir sedekad dalam industri hiburan, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 33, berkata, pendapatannya datang daripada pelbagai sumber termasuk lakonan, kerjasama bersama jenama besar, pemasaran afiliasi dan peranan sebagai duta produk.
“Saya menjadi duta jenama, membuat pemasaran afiliasi berlakon dan berkolaborasi dengan beberapa jenama.
Pendapatan saya sekitar RM50,000 hingga RM100,000 sebulan.
“Di Instagram, saya mempunyai 1.7 juta pengikut, manakala di TikTok jumlah pengikut mencecah lebih 700,000,” katanya menerusi temu bual bersama platform media sosial popular, Malaysian Pay Gap.
Meskipun berduit, pelakon Hikayat Pak Belalang itu berkata dirinya tidak terlalu memandang jenama mewah sebaliknya lebih mementingkan kualiti sesuatu produk.
Dengan pendapatan setinggi itu, saya banyak membelanjakan wang untuk penjagaan diri, perbelanjaan dan kos sara hidup yang agak tinggi.
“Daripada segi pilihan barangan, saya lebih fokus pada kualiti berbanding harga. Kalau sesuai dengan saya, tentu sekali saya akan beli.
Contohnya macam gincu bibir saya berharga RM200 serta sunscreen (pelindung suria) yang hanya berharga RM16,” kongsinya.
Perkongsian itu bukan sahaja menimbulkan rasa kagum, malah mencetuskan usikan dalam kalangan netizen.
Rata-rata meninggalkan komen bersifat sinis terhadap pendedahan tersebut.
“Pendapatan RM100,000 sebulan? Memang kayalah, tapi jangan lupa satu lagi kerjaya, iaitu ‘mencuri suami orang’,” seloroh seorang pengguna media sosial.
Tak kisahlah berapa pendapatan dia, yang penting jangan kacau rumah tangga orang,” kata seorang lagi netizen.
“Beli gincu RM200 pun tak pelik, cuma perangai tu kalau boleh biarlah berharga juga,” sindir seorang pengguna lain.
Untuk rekod, Ruhainies merupakan antara selebriti yang kerap dihujani dengan kecaman dalam media sosial sehingga ke hari ini.
Antara pencetus utama dia sering menjadi mangsa kecaman netizen adalah selepas ditangkap khalwat dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz pada Mac tahun lalu di kediamannya di ibu negara. – HIBGLAM