DI sebalik wajah yang tersenyum di layar kaca, siapa sangka terpahat kisah yang tidak terucap di pentas dunia. Anna Jobling bintang muda yang bersinar kini bergelut dengan bayang kasih yang retak, ibunya sendiri, Ariz Arop.
Siapa sahaja yang mahu berseteru dengan ibu kandung, pasti tidak pernah terlintas dalam benak fikiran mana-mana individu bergelar anak, namun itu yang dilalui Anna ketika ini.
Jika diikutkan, ini bukan kes pertama selebriti tanah air berdepan konflik dengan ahli keluarga sendiri, sebelum ini Diana Danielle dan Shila Amzah juga pernah berdepan situasi sama.
Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abd. Rahman Jobling, 25, tiba-tiba menyorot perhatian ramai apabila ibunya membuat pendedahan dikenakan perintah injunksi oleh anak tunggalnya itu.
Perkara tersebut mengejutkan banyak pihak sekali gus mengundang pelbagai dakwaan lain termasuk Anna bertindak sedemikian kerana tidak tahan didera ibu kandung sendiri.
Satu demi satu tuduhan liar muncul dalam media sosial selepas Ariz memuat naik video dan foto berada di balai polis dipercayai berkaitan kemelutnya dengan Anna.
Bukan kali pertama, Ariz mendedahkan pernah menerima injunksi pada Disember tahun lalu apabila hanya dibenarkan berjumpa anaknya itu dalam jarak 100 meter.
Dia juga kesal dengan tindakan Anna yang sanggup memperlakukan ibu kandung sendiri sedemikian rupa.
Menurut Ariz, hasil perbincangan dengan wakil peguam perintah larangan itu terbatal, namun masih terikat dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Anna membisu
Anna yang masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan selain rancak mempromosikan drama terbaharunya, Setia Itu Mahal memilih menggunakan khidmat peguamnya, Wan Nurliyana Abd. Rahman untuk menyalurkan sebarang kenyataan.

ANNA Jobling memilih pendekatan mengunci mulut daripada meleraikan segala dakwaan yang dicetuskan ibunya, Ariz Arop.
Pada Selasa lalu, Nurliyana sempat menjelaskan, tiada sebarang pergelutan di dalam kereta berlaku melibatkan Anna dan ibunya semasa kejadian di kawasan parkir sebuah premis beli- belah pada Isnin.
Penjelasan tersebut bagi menjelaskan situasi sebenar yang sebelum ini Ariz mendakwa dia dikurung di dalam sebuah kereta yang dikunci Anna.
Rentetan itu, ramai mula membuat andaian negatif terhadap Ariz dan melahirkan rasa simpati buat Anna kerana perlu berdepan dengan situasi yang tidak sepatutnya beberapa hari sebelum ulang tahun ke-25 pada Khamis.
Meski media sosialnya dibanjiri dengan komen dan desakan netizen agar bersuara mempertahankan diri, bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 sehingga hari ini memilih pendekatan berdiam diri.
Terus bersuara
Sementara Ariz yang juga seorang ibu tunggal pula lantang bersuara dalam media sosial termasuk melakukan siaran langsung bagi mempertahankan diri.
Jelasnya, sebagai seorang ibu, sedih, kecewa dan terkilan adalah rasa yang menyelubungi diri ketika ini.
“Ada benda yang dia buat sehingga saya marah cuma tidak akan dedahkan dalam media sosial.
Tapi tak mengapalah, saya okey sahaja tambahan pula sudah melalui macam-macam perkara sepanjang 51 tahun hidup,” katanya.
Dedahnya dalam siaran langsung baru-baru ini, Ariz berasa sedih apabila Anna bertindak merakam semua perbualan dan pertelingkahan dalam setiap pertemuan mereka selama ini.
“Injunksi itu dilakukan sekitar bulan Disember tahun lalu yang berpunca sebab banyak bergaduh dan campur tangan orang ketiga. Selepas dia hantar injunksi, kalau kami berkomunikasi, bergaduh semua akan dirakam.
Keluar dengan dia kena jaga tutur kata, jangan tersalah cakap atau marah sebab dia akan mula rekod. Hubungan jenis apa itu?” dakwanya.
Ariz juga merasakan dirinya seperti disisihkan oleh anak tunggalnya yang dibesarkan sendiri sejak kecil.
“Dia tinggalkan, keluar rumah dan tak mempedulikan saya.
Dia akan mesej dan hubungi saya bila memerlukan sahaja. Dia pernah cakap ‘semua ini terpulang pada saya dan saya ada hak sendiri’” ujarnya dalam siaran langsungnya baru-baru ini.
Barangkali ada segelintir individu berasakan Ariz terlalu membuka pekung sendiri tetapi hakikatnya itu luahan hati seorang ibu tentang kemelut dengan anak tunggalnya.
Anna yang kini kekal membisu pula sepertinya memilih untuk tidak berdebat selain perlu menjaga kesihatan mental demi kelangsung hidup dan kerjaya seni sebagai pelakon. – HIBGLAM