IBU kepada pelakon Anna Jobling iaitu Ariz Arop mengakui pernah memukul anaknya sebelum ini namun bagi tujuan mendidik bukannya penderaan seperti didakwa ramai.
Menurut Ariz, dia memukul Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, pada bahagian muka kerana mendakwa anaknya itu sudah melampaui batas termasuk dikatakan bersikap kurang ajar terhadapnya.
Saya bukan pukul tapi sepak (lempang). Bila melawan, melampau-lampau, pakai panggilan kau aku, jadi saya sepak dia.
“Bukan saya pukul untuk dera dia atau patahkan kaki, memang tidak.
Saya mengharaplah anak akan jadi baik dan menjaga kita. Tapi, Anna sudah banyak lari dari landasan dan banyak berubah.
“Lepas dia popular, ada kelab peminat, ada peguam dan dijaga syarikat pengurusan, management, saya sudah tak ada makna bagi dia,” katanya dalam siaran langsung semalam.
Bercerita lanjut, Ariz mendakwa hubungannya dengan Anna sudah lama berantakan dan antara faktor utama ialah campur tangan pihak ketiga.
“Banyak punca dan perkara ini sudah lama. Sebahagian dari punca bergaduh adalah banyak campur tangan orang ketiga.
Saya dengan Anna selalu jadi panas dan bergaduh. Banyak campur tangan pengurusan dan pengurusan kelab peminat dia.
“Macam kelab peminat dia terlampau banyak campur tangan urusan peribadi saya dengan Anna,” kongsinya.
Ariz memberitahu, dia tidak kisah sekiranya terdapat segelintir pihak menghentam dan memilih untuk menyokong Anna dalam kemelut yang melanda ketika ini.
“Tak mengapalah, dia sudah popular dan mempunyai duit. Kebanyakan orang pasti akan menyebelahinya sebab dia pelakon, popular dan cantik, siapa sahaja yang mahu sokong saya?
Tak mengapalah, saya sudah lakukan yang terbaik dalam membesarkanya. Ini ujian Allah SWT.
“Bukan nak guna agama tetapi kena percaya hidup ini macam roda. Hari ini mungkin di atas dan esok pula berada di bawah,” jelasnya.
Dalam masa saya, dia turut membidas netizen yang mendakwanya berlagak seperti mangsa keadaan.
Saya tidak berlagak seperti mangsa dan kalian tidak berada dalam situasi saya. Jangan mudah membuat kesimpulan.
“Saya jelaskan dalam siaran langsung ini tentang apa yang berlaku,” kongsinya lagi.
Isu melibatkan Anna mula menjadi perhatian selepas Ariz sendiri mengakui hubungannya dengan anak tunggal itu kini renggang.
Bagaimanapun, peguam kepada Anna dalam satu kenyataan menolak dakwaan berlaku pergelutan atau insiden mengunci ibu pelakon itu di dalam kenderaan.
Jelasnya, pintu kereta tersebut boleh dibuka dari bahagian dalam dan ketika kejadian, kenderaan tersebut sebenarnya tidak berkunci. – HIBGLAM