IBU kepada pelakon Anna Jobling yang dikenali sebagai Ariz Arop membuat pendedahan mengejutkan dalam media sosial apabila mendakwa anaknya membuat perintah injunksi terhadapnya.
Kecewa dengan layanan yang diterima, Ariz tidak kisah sekiranya terpaksa dipenjara selain menyerahkan segala ujian yang dihadapi kepada ketentuan Allah SWT.
“Lelah seorang insan yang bernama ibu. Panggillah seramai peguam yang awak (Anna) nak, bagilah banyak mana injuksi yang awak mahu.
Letaklah banyak mana gari awak nak letak, saya tak gentar. Saya sudah lalui berbagai onak duri, bergadai nyawa nak besarkan awak.
“Kalau ini balasan awak, tak mengapa. Kalau saya kena masuk penjara pun, saya reda saja. Allah SWT ada, Allah Maha Adil,” katanya menerusi hantaran InstaStory.
Dalam hantaran sama, ibu kepada pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu turut menunjukkan keadaan tangannya yang kelihatan kemerahan akibat mengetuk cermin pintu selepas dikunci daripada dalam.
Tangan bengkak sebab tumbuk cermin kereta, saya jadi panik tiada pilihan.
“Allah ada, Allah tak tidur,” ujarnya yang turut berkongsi keadaan dirinya yang sedang menangis ketika berada di balai polis.

TANGKAP layar perkongsian hantaran Ariz mengenai hatinya yang terluka dan tangan yang bengkak akibat mengetuk cermin kereta untuk menyelamatkan diri. – INSTAGRAM STORY
Dalam hantarannya, Ariz turut menyelitkan lagu Syurga Di Telapak Kaki Ibu dendangan Aishah dan Hapuslah Air Matamu dendangan Allahyarham Sharifah Aini seolah-olah ingin berkongsi perasaannya ketika ini.
Dalam satu hantaran lain, Ariz meluah perasan bahawa ada yang tidak senang melihat kebahagian mereka dua beranak.
“Sebelum ‘event’. Tak semua orang gembira bila kita anak beranak gembira. Banyak mulut jahat meracun, merobek kebahagian kami termasuklah ahli keluarga sendiri.
Tak apa, kalian ada keluarga juga, ada anak dan anak buah. ‘what goes around comes around’. Allah akan bagi keadilan. Macam mana aku sakit, kalian akan lagi sakit,” katanya.
Terdahulu Ariz dilihat menemani Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, sewaktu menghadiri Anugerah Melodi Terhangat 2025 minggu lalu.
Hasil pemerhatian HibGlam, Anna juga tidak lagi mengikuti ibunya dalam Instagram sekali gus menguatkan spekulasi hubungan mereka kini dalam keadaan dingin. – HIBGLAM