‘Masing-masing ‘struggle’, fikir sebelum lontar komen negatif’

PELAKON Datin Intan Najuwa menasihati orang ramai tidak melemparkan sebarang komen negatif dalam media sosial sesuka hati kerana bimbang memberi impak negatif terhadap individu lain.

Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, gejala buli dalam dunia siber hari ini kian membimbangkan sehingga mampu menjejaskan kesihatan mental seseorang.

“Sangat teruk. Kepada sesiapa yang nak tinggalkan komen negatif, saya rasa perlu lebih berhati-hati.

Sekarang  banyak sangat buli siber dan semua itu akan beri kesan kepada kesihatan mental orang lain sebab kita tak tahu apa yang mereka lalui.

“Masing-masing ada ‘struggle’ sendiri. Jadi, berbuat baiklah sesama sendiri. Tolong berfikir sebelum melontarkan apa-apa komen negatif kerana boleh memberikan kesan terhadap orang lain,” katanya ketika ditemui pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), baru-baru ini.

Sedar dirinya juga sering dikecam netizen, Intan memilih untuk tidak terlalu melayan dan membaca komen sebegitu bagi memastikan kesihatan mentalnya terjaga.

Saya memang daripada dulu sudah biasa dan tak baca komen netizen untuk jaga kesihatan mental.

“Kita tak boleh nak sekat dan kawal benda negatif atau buruk orang nak beri,” ujarnya.

Bukan sahaja dirinya, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu berkata, anak perempuannya, Imane Lunara yang baru berusia lapan bulan juga tidak terlepas menjadi sasaran komen negatif netizen.

“Komen negatif tentang anak juga banyak. Bukan di ruangan komen sahaja tetapi menerusi mesej juga.

Tapi saya lebih memilih untuk tidak baca sangat, tak simpan dalam hati sebab mungkin orang tak kenal kita dan boleh cakap macam-macam kan?

“Saya lebih kenal diri sendiri,” ujarnya.

Sebelum ini, Intan sering menjadi mangsa kecaman netizen dalam media sosial termasuk dituduh sengaja menayang gaya hidup mewah dan terbaharu warna kulitnya di sebuah acara baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok