Anak Malaysia mendunia di Hollywood

BERMULA dari era Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sendiri yang merangkul tiga anugerah di peringkat serantau menerusi Festival Filem Asia (FFA) dengan trofi Pelakon Lelaki Terbaik Asia bagi filem Anakku Sazali di Tokyo pada 1957 dan terbaharu Datuk Hilal Azman meraih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Filem Asia Pasifik ke-61 di Macau, China, dunia menyaksikan betapa Malaysia memiliki penggiat seni yang berkredibiliti.

Sekadar menyebut beberapa nama yang pernah mengharumkan nama negara di persada luar termasuk Bront Palarea, Jack Tan, Susan Lankester, Azira Shafinaz dan Fabian Loo, pastinya kemaraan Malaysia menyuntik semangat penggiat seni lain.

HibGlam menyenaraikan pula selebriti asal Malaysia yang mekar mengharum di luar negara, bukan hanya mengukuh nama di Hollywood.

Tan Sri Michelle Yeoh

NAMA Tan Sri Michelle Yeoh tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena antarabangsa dengan reputasi ampuh yang dibina di Hollywood sejak berdekad lalu.

Berkelana dari Ipoh, Perak ke Hong Kong mempertaruhkan bakat lakonan menerusi filem aksi Yes Madam dan Police Story 3 sekitar 1985, 12 tahun kemudian beliau menjadi gadis Bond dalam Tomorrow Never Dies di sisi Pierce Brosnon.

Tidak menoleh ke belakang, tangga Hollywood didaki dengan tekad apabila satu persatu naskhah box office dicapai seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of a Geisha dan Crazy Rich Asians.

Kemuncaknya, Miss World Malaysia 1983 itu merangkul gelaran dambaan ramai aktres papan atas dunia sebaik diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi dua tahun lalu menerusi Everything Everywhere All at Once.

Yeoh juga sebelum itu membawa pulang anugerah Golden Globe, Screen Actors Guild Award (SAG) dan Independent Spirit Award untuk peranan sama.

Henry Golding

Pelakon kacukan Iban-Inggeris yang menembusi Hollywood menerusi watak utama dalam Crazy Rich Asians terbitan 2018 itu bukan calang-calang aktor.

Dilahirkan pada 5 Februari 1987, di Betong, Sarawak dengan ibu berketurunan Iban dari Sarawak dan bapa berketurunan Inggeris, Golding awalnya bekerja sebagai penata gaya rambut profesional di London dan bekerja di salon terkenal seperti Richard Ward Hair serta Metrospa.

Pada usia 21, Golding kembali ke Kuala Lumpur memulakan karier sebagai hos 8TV Quickie, The Travel Show (BBC), Welcome to the Railworld (Malaysia dan Jepun) dan Surviving Borneo (Discovery Channel Asia) sebelum ‘terjun’ ke arena lakonan.

Pertemuan diaturkan seorang akauntan syarikat perfileman, memperkenalkan Golding kepada pengarah Crazy Rich Asians menjadi titik tolak buat lelaki itu meraih watak Nick Young, debut pencorak kerjayanya di Hollywood.

Remy Hii

BAGI penggemar tegar filem adiwira Spider-Man: Far From Home, tentu wajah salah seorang teraju utamanya, Remy Hii terakam kuat dalam ingatan.

Aktor dari Australia itu sebenarnya rakyat Malaysia berketurunan Cina-Malaysia dan Inggeris yang dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah.

Pembabitan dalam siri mini biopik TV berdasarkan kisah Van Tuong Nguyen tentang seorang lelaki Vietnam-Australia yang ditangkap di Singapura dan dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah menjadi titik tolak kemaraannya.

Kemudian pada 2014, Remy membintangi siri televisyen Marco Polo sebagai Putera Jingim sebelum memegang watak Alistair Cheng dalam Crazy Rich Asians.

Watak dalam siri berdasarkan kisah benar, Better Man melayakkan Hii berada dalam senarai nominasi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah AACTA dan Pendatang Baharu Terbaik mbagi Logie Awards pada 2014.

Ronny Chieng


MERUPAKAN pelakon dan bekas penyampai radio tanah air, Ronny Chieng semakin mencipta nama di peringkat antarabangsa selepas muncul dalam filem Crazy Rich Asians.

Bukan hanya berlakon, anak kelahiran Johor Bahru yang mendapat pendidikan di Singapura sebelum melanjutkan pengajian di Australia juga dikenali sebagai pelawak.

Ronny memulakan kerjaya awal dalam komedi berdiri mengadakan siri jelajah komedi di Australia, New Zealand, Singapura, Hong Kong, India, Kanada, London dan Malaysia.

Dia kemudian berpindah ke New York dan memulakan kerjaya sebagai wartawan bagi program The Daily Show With Trevor Noah selain muncul dengan rancangan Netflix, Asian Comedian Destroys America. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok