Bakal bergelar bapa, pelakon popular Remy Ishak mengakui berdebar menanti kelahiran anak sulungnya dalam masa tiga bulan lagi.
Menurut Remy, 40, perasaannya bercampur-baur kerana wujud rasa khuatir memikirkan tentang kemampuannya dengan isteri, Ezza Yusof dalam membesarkan anak.
“Saya berdebar nak bergelar bapa. Perasaan saya ketika ini bercampur-baur, wujud persoalan ‘boleh ke?’
“Gembira, teruja dan wujud pelbagai persoalan sama ada kami mampu untuk menjadi ibu bapa terbaik.
“Bukan tidak yakin dengan diri sendiri tetapi lebih kepada bimbang untuk membesarkan anak pada zaman yang penuh cabaran seperti hari ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis tayangan program raya Astro 2023 di sini, baru-baru ini.
Meskipun wujud rasa bimbang, bintang drama Lelaki Kiriman Tuhan itu tetap teruja dan seronok untuk bergelar bapa tidak lama lagi.
Sebagai persediaan menggalas tanggungjawab tersebut, Remy juga mengambil inisiatif bertanya atau meminta nasihat daripada orang sekeliling.
“Saya banyak memerhati dan bertanya dengan mereka yang berpengalaman tetapi dalam masa sama belajar untuk merasai sendiri pengalaman ini.
“Setiap orang ada cara masing-masing dalam mendidik anak,” ujarnya.
Berkongsi lanjut mengenai kandungan isterinya yang sudah memasuki usia enam bulan, dia masih belum mengetahui jantina zuriat pertamanya itu.
“Setakat ini saya dan isteri belum tahu lagi jantina anak, mungkin selepas pemeriksaan nanti. Saya tidak kisah pun jantina, sudah cukup bersyukur dengan rezeki yang Allah beri.
“Selain itu, isteri pun tidaklah alami alahan atau mengidam yang teruk cuma dia terlebih sensitif,” ujarnya.
Biarpun belum mengetahui jantina, namun Remy berkongsi, nama yang bakal diberikan kepada bayinya itu boleh dikatakan unik dan menongkah arus.
“Tentang nama anak, sebenarnya sebelum nikah lagi memang saya sudah ada nama yang diinginkan.
“Saya mahu nama anak ada bunyi kemelayuan. Jika ada nama dalam bahasa Melayu dan memiliki makna yang baik, apa salahnya untuk guna nama itu,” ujarnya lagi.
Terdahulu, kehamilan sulung Ezza mula dihidu apabila peminat melihat baby bump dan perubahan fizikalnya.
Berita gembira itu seterusnya diakui oleh Remy pada bulan lalu yang memberitahu isterinya kini hamil zuriat pertama mereka.
Sekadar info, pemilik nama penuh Mohammad Zalimei Ishak berkenaan mendirikan rumah tangga dengan Ezza, 40, pada 21 Ogos 2021 dalam sebuah majlis serba ringkas selepas lapan tahun menjalinkan hubungan cinta. – KOSMO! ONLINE