‘Selesai masalah dalam gelanggang, menang kalah belakang cerita’

MAHU menebus maruah keluarga yang diinjak-injak seorang pelakon muda, Harris Alif tekad menyertai pertandingan tinju Asia Championship 2025 sebagai medan pertempuran menyelesaikan sengketa lama.

Menurut Harris atau nama lengkapnya Nora Harris Alif Nor Rashidi, 26, dia mengambil keputusan untuk sertai acara tersebut selepas melihat nama pelakon itu turut mengambil bahagian.

“Sebenarnya kami kenal sejak dari kecil lagi. Namun ada satu kejadian yang berlaku di Sarawak pada tahun lalu tetapi kami sudah selesaikan.

“Kemudian tiba-tiba dia buat sesi siaran langsung dan mula menyentuh tentang isteri (Intan Ladyana) dan ibu saya. Cakap saya kahwin dengan isteri tua. Ibu saya tak ajar saya. Mana saya nak letak maruah sebagai lelaki?

“Jadi bila saya tengok ada nama dia dalam pertandingan ini, saya rasa lebih baik kita selesaikan masalah di dalam gelanggang. Menang atau kalah itu belakang cerita,” katanya ketika ditemui di sidang media Asia Championship 2025, semalam.

Ditanya apakah punca mereka bertegang urat, kata Harris kejadian tersebut berlaku di sebuah set penggambaran.

“Saya dah lama tak jumpa dengan dia. Apabila berjumpa semula saya lihat perangai dia sudah berubah. Bukan saya sahaja yang perasan, pelakon senior lain pun turut perasan perkara yang sama.

“Jadi saya tegur dia saya tanya kenapa dia jadi sangat kurang ajar sekarang. Tetapi dia tak boleh terima teguran saya dan mula mengamuk. Saya tak tahu ketika itu dia berada dalam keadaan yang normal ataupun tidak.

“Sebagai manusia biasa saya pun ada tahap kesabaran saya sendiri. Bila terjadi seperti itu maka berlaku pergelutan. Tetapi selepas itu kami sudah saling bermaafan dan menangis. Tetapi tiba-tiba dia buat ‘live’ dan mula cakap bukan-bukan.

“Pada saya perkara lama tak perlu diungkit semula. Tetapi nampaknya dia masih tidak puas hati. Mungkin sebab dia kalah dulu. Bagi saya tak perlu nak mengherdik tak puas hati dalam media sosial. Kalau betul dia anak jantan, marilah datang jumpa saya. Kuala Lumpur bukan besar mana pun,” ujarnya.

Ditanya apakah reaksi Intan tentang penyertaannya dalam pertandingan ini, kata Harris isterinya sudah sedia maklum tentang situasi yang berlaku antara dia dan aktor tersebut.

“Intan sendiri sudah tengok video yang dibuat aktor tersebut. Sebagai wanita sudah tentu dia terasa sedangkan dia tiada kena mengena dengan apa yang berlaku.

“Jadi bila dia tahu saya nak sertai pertandingan ini, dia kata semuanya terserah kepada saya. Jadi saya sangat berharap pihak penganjur menggandingkan saya dengan aktor tersebut di dalam gelanggang,” jelasnya.

Asian Championship 2025 bakal berlangsung pada 18 Oktober depan yang turut melibatkan peninju-peninju amatur dalam kalangan pempengaruh di Malaysia. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok