SETAHUN enam bulan bersiaran, pelakon Datuk Fizz Fairuz mengejutkan ramai apabila mengumumkan meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio di Suria FM menerusi segmen Morning Morning Suria hari ini.
Fizz, 45, yang sebak ketika mengucapkan kata-kata terakhir berkata, dia berterima kasih kepada seluruh pasukan Suria FM sepanjang tempohnya bekerja sebagai penyampai radio.
“Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM.
“Terima kasih banyak kepada seluruh pasukan, minta maaf atas setiap silap dan salah saya selama saya di sini, saya pula seorang yang terlalu sempurna mungkin ada orang sukar ikut dan sebaliknya,” katanya ketika bersiaran hari ini.
Dalam masa sama, dia sempat mengakui kerjaya sebagai penyampai radio merupakan salah satu impian yang diinginkannya sejak dulu.
“Terima kasih banyak sebab beri peluang untuk saya merasa dan realisasikan impian untuk menjadi penyampai radio.
“Saya sudah jadi pengarah, pelakon dan kini di radio. Saya jadi penyampai radio ini pun saya minat termasuk suka melakukan drama radio.
“Akhirnya tercapailah impian saya untuk jadi penyampai radio,” katanya lagi.
Dia juga sempat menitipkan pesanan kepada rakan gandingannya iaitu Ajak Shiro dan Kai Hassan agar meneruskan rutinya sebelum ini iaitu mengingatkan pendengar supaya tidak meninggalkan solat subuh.
“Jangan lupa, segmen saya sebelum ini pada pukul 6 pagi iaitu mengingatkan pendengar agar tunaikan solat subuh. Beritahu kepada mereka (pendengar).
“Sejadah yang saya gunakan itu, saya tinggalkan di sini, gunalah,” ujarnya.
Difahamkan, keputusan Fizz tidak meneruskan kontrak disebabkan mahu memberi fokus kepada anak-anaknya selain kasihan melihat isterinya iaitu pelakon Almy Nadia terpaksa menguruskan anak-anak bersendirian setiap pagi.
Terdahulu, Fizz mula berkhidmat sebagai penyampai di radio Suria FM sejak 21 Januari 2024. – HIBGLAM