USAHAWAN sensasi Datuk Seri Vida tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata apabila melihat awan yang dikatakan mirip kalimah Allah SWT baru-baru ini.
Menurut Vida atau nama penuhnya Hasmiza Othman, 54, situasi tersebut berlaku secara spontan yang pada awalnya hanya berniat untuk merakam bulan namun keajaiban lain pula muncul di langit malam.
“Saya singgah ke rumah saya di Jerteh, Terengganu yang sudah lama ditinggalkan. Saya hanya nak tengok keadaan dari luar pagar.
Sambil rakam anak bulan yang cahayanya sangat terang, tiba-tiba Allahuakbar, terpampang kalimah Allah di langit malam diterangi cahaya bulan.
“Betapa hebatnya kuasa Allah. Sebak hati saya,” katanya dalam video yang dimuatnaik dalam TikToknya semalam.
Sementara itu, Vida juga memberitahu dia bakal membuka sebuah pusat pengajian dan penulisan Al-Quran Baitul Nurly Jannah.
“Hari ini saya umumkan satu hajat besar iaitu nak membina sebuah pusat pengajian dan penulisan al-Quran diberi nama Baitul Nurly Jannah.
Tempat ini akan lahirkan anak-anak al-Quran. Tempat belajar, menulis dan mencintai kalam Allah.
“Saya tak mahu pemergian Nurly hanya dikenang dengan air mata, tapi dengan ilmu yang terus hidup sampai akhir zaman,” katanya lagi.
Terdahulu, Vida menziarahi kediaman dan pusara salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan bas persiaran di Gerik, Perak iaitu Allahyarham Nurly Shahirah Azman.
Terdahulu, nama Nurly mula menjadi sebutan ramai selepas keluarganya memberitahu arwah merupakan seorang hafizah menghafal 30 juzuk al-Quran dan turut mempunyai senaskhah al-Quran hasil tulisan sendiri. – HIGBLAM