PENYANYI rock terkenal, Datuk Awie menafikan dakwaan dia merupakan individu yang menyerang Shila Amzah sewaktu sesi latihan Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y semalam.
Menerusi rakaman pesanan suara yang dikongsikan akaun Instagram program hiburan Hlive, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, menegaskan dia tidak berada di tempat kejadian sewaktu serangan tersebut berlaku.
“Saya nak beritahu di sini kejadian antara Shila Amzah dengan sesiapa yang saya tak tahu, saya tak ada kena mengena dan tidak ada di lokasi kejadian.
Saya mohon kepada semua untuk berhenti memfitnah, mengaitkan nama saya. Cukup-cukuplah. Sesiapa yang sudah terlajak fitnah, cepat-cepat datang jumpa saya untuk minta maaf,” katanya.
Terdahulu, Shila membuat pendedahan yang mengejutkan ramai apabila mendakwa diserang seorang penyanyi bertaraf legenda ketika sesi latihan konsert di Stadium Merdeka, semalam.
Terkesan dengan insiden itu, Shila kemudian membuat laporan polis.
Berikutan identiti penyanyi tersebut tidak didedahkan, netizen mula memetik beberapa nama penyanyi yang terlibat dengan konsert tersebut antaranya Datuk Awie, Datuk Amy Search dan Ella. – HIBGLAM