‘Saya satukan semua rasa amarah, kesedihan’

BUKAN sekadar bersinar di pentas sehingga membolosi anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu ke38 (AJL38) tetapi pucuk muda, Aisha Retno juga semakin mengukuhkan posisi sebagai pencipta lagu, sekali gus membuktikan kematangan karier.

Diiringi pencapaian membanggakan, Aisha juga menghasilkan lagu raya buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Raya Nak Ke Mana? yang melengkapkan lagi portfolionya.

Enggan ilham tersekat, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu mencurahkan idea menerusi single terbaharu genre pop rock berjudul Tak Adil.

Tampil dengan sisi berbeza, Aisha mengakui terinspirasi daripada penyanyi luar dan dalam negara dengan menyifatkan pop rock merupakan medium terbaik untuk menyalurkan emosi dalaman.

“Saya mahu memperlihatkan kebolehan saya membawa genre sebegini, lagi pun ramai rakyat Malaysia menyukai rentak pop rock yang turut mengembangkan kepelbagaian. Kerana itulah yang perlu dilakukan penyanyi.

Selain itu, saya sangat suka dengan beberapa penyanyi pop rock seperti Olivia Rodrigo dan jika di Nusantara saya meminati Geisha serta Neeta Manis.

“Bagi saya, kita dapat mengekspresikan kesedihan dan kemarahan yang boleh disatukan dalam sesebuah karya,” katanya.

TAK Adil bukan sekadar luahan peribadi berkaitan cinta tetapi juga menyentuh realiti kehidupan tentang ketidakadilan yang sering berlaku terutama dalam karier seni

Tanpa berselindung, penyanyi berusia 25 tahun itu mengakui Tak Adil merupakan luahan isi hatinya ketika dikecewakan bekas kekasih.

Selain itu, saya juga baru melalui fasa patah hati yang agak teruk, jadi saya satukan semua rasa amarah dan kesedihan dalam lagu ini.

“Memang tak adil jika sebelah pihak sahaja yang rasa sakit sedangkan pihak lagi satu tak rasa apa-apa,” kongsinya.

Menurutnya lagi, Tak Adil bukan sekadar luahan peribadi berkaitan cinta tetapi juga menyentuh realiti kehidupan tentang ketidakadilan yang sering berlaku terutama dalam karier seninya.

“Sebenarnya ketidakadilan memang banyak berlaku dalam kehidupan seperti dalam pekerjaan, percintaan dan macam-macam lagi.

“Untuk lagu ini, saya sampaikan kisah cinta dan ketidakadilan yang saya sendiri pernah lalui.

Sepanjang lima tahun ini, saya tempuh macam-macam dalam industri hiburan. Saya luahkan dengan jujur, ada kejadian yang pernah berlaku kepada saya sebelum ini, memang tak adil,” jelasnya lagi.

Menariknya, pelantun lagu Sutera itu juga mengakui penulisan lagu tersebut berlaku secara spontan semasa sedang larut dalam kesedihan.

“Suatu hari ketika berada di rumah, saya rasa sangat sedih dan marah. Kemudian, ketika masih sedang patah hati, adik saya Radi ajak masuk studio di rumah kami.

Radi menyuruh saya tulis lagu bergenre pop rock sebab saya rasa, dia nampak ekspresi saya ketika itu. Kemudian dalam masa kurang tiga jam, semuanya terluah dalam lagu ini.

“Syukur alhamdulillah, penulisan lagu memang sekejap mungkin sebab sedang merasakan emosi dan mendalami liriknya.

Kemudian untuk proses produksi, barulah mengambil masa beberapa minggu,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok