PENYANYI asal Colombia, Shakira memenangi pertikaian cukai dengan pihak berkuasa Sepanyol selepas mahkamah mengarahkan pemulangan semula lebih RM280 juta kepadanya.
Menurut keputusan mahkamah yang diumumkan Isnin lalu, pihak berkuasa gagal membuktikan pelantun lagu Hips Don’t Lie itu menetap lebih 183 hari di Sepanyol sepanjang tahun 2011 iaitu syarat utama untuk seseorang diklasifikasikan sebagai pembayar cukai rasmi negara berkenaan.
Mahkamah Sepanyol memutuskan Shakira hanya berada di negara itu selama 163 hari pada tahun tersebut, sekali gus menolak dakwaan bahawa pusat kepentingan ekonominya terletak di Sepanyol.
Mahkamah juga mengarahkan pihak berkuasa percukaian memulangkan semua bayaran yang dibuat termasuk faedah undang-undang, sekali gus membatalkan denda yang sebelum ini menetapkan penyanyi itu sebagai pembayar cukai Sepanyol bagi tahun terbabit.
Kemenangan tersebut diperoleh ketika Shakira sedang bersiap menamatkan jelajah dunia Women Don’t Cry Anymore yang mencipta rekod tersendiri menerusi siri konsert di Madrid bermula September depan.
Pemilik nama penuh Shakira Isabel Mebarak Ripoll itu sebelum ini tinggal bersama bekas pemain bola sepak Sepanyol, Gerard Pique selama sedekad. Mereka berpisah pada 2022 dan dia kemudian berpindah ke Miami bersama dua anak lelaki mereka. – HIBGLAM
