Lama abadikan diri pada bisnes, Mila Jirin nak buat ‘comeback’

DIDAKWA gagal menempatkan diri dalam dunia hiburan, penyanyi Mila Jirin mengakui hakikat sudah lama menyepi dan tidak aktif menyanyi berikutan sibuk menguruskan keluarga dan perniagaan.

Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla Jirin, 39, berkata mungkin tiba masa untuknya meleraikan rindu terhadap lapangan seni suara dengan membuat kemunculan semula.

“Apabila baca komen-komen begini buat saya sedar, saya ada sesuatu yang belum selesai dalam diri saya.

“Betul, saya dah lama tidak aktif. Dah lama sangat saya abadikan diri saya dengan keluarga, perniagaan dan perjalanan hidup saya.

“Saya baca semua komen-komen anda, memberi kesan kepada saya. Saya rasa inilah masanya untuk saya kembali kerana anda semua,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Menurut juara Akademi Fantasia musim lima (AF5), keinginan sendiri hanya dapat dipendamkan demi fokus terhadap perkara yang lebih utama.

“Saya juga manusia biasa, jauh di sudut hati yang paling dalam memang rindu dengan nyanyian saya simpan paling jauh dan dalam-dalam supaya saya boleh lupakan.

“Tapi komen awak ini memang sangat memberi kesan. Saya akan buktikan.

“Bukan kepada mereka yang tidak percayakan saya tetapi mereka yang beri sokongan kerjaya sejak saya sertai program Akademi Fantasia dan yang masih ada sehingga hari ini,” ujarnya.

Terdahulu, seorang individu mendakwa Mila gagal dalam industri hiburan selepas lama dilihat menyepi walaupun pernah menjuarai program AF pada tahun 2007.

Sejak lebih sedekad lalu Mila yang popular dengan lagu Aku Lebih Tahu menumpukan perhatian terhadap perniagaan premis acara kelolaan syarikatnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok