MEMENUHI keinginan ramai, aktor Lee Je-hoon kembali menggalas watak ikonik Kim Do-gi dalam drama bersiri Taxi Driver yang kini memasuki musim ketiga.
Sarat plot mendebarkan, kisah aksi siaran Viu Original yang bakal menemui peminat tegar pada suku keempat 2025 membuatkan penonton teruja dengan pengekalan karakter utama serta beberapa watak baharu.
Selain Je-hoon, paling mencuri tumpuan pastinya kemunculan ahli kumpulan sensasi Hong Kong MIRROR, Edan Luang yang akan membuat debut K-drama terbabit iaitu membentuk pakatan tidak dijangka bersama Do-gi.
Je-hoon juga akan kembali disertai bintang asal Taxi Driver musim lalu seperti Kim Eui-sung, Pyo Ye-jin, Jang Hyuk-jin dan Bae Yoo-ram.
Ketua Pegawai Eksekutif Studio S (Unit Penerbitan Dalaman SBS Media Group), Park Jeong-hoon, berkata, pihaknya berbesar hati mengumumkan kerjasama berterusan dengan Viu.
“Pasukan produksi berusaha keras menghasilkan sebuah drama berkualiti tinggi yang bukan sahaja meneruskan legasi musim 1 dan 2, bahkan mampu memenuhi serta melangkaui jangkaan penonton,” katanya.

Je-hoon juga akan kembali disertai bintang asal Taxi Driver musim lalu seperti Kim Eui-sung, Pyo Ye-jin, Jang Hyuk-jin dan Bae Yoo-ram. – VIU MALAYSIA
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Viu dan Pengarah Urusan PCCW Media Group, Janice Lee, pula berkongsi senarai kandungan terbaharu mencerminkan komitmen berterusan terhadap penceritaan menarik, relevan secara lokal dan berpotensi menembusi pasaran global.
“Sepanjang 2025, kami membawakan pelbagai kerjasama antarabangsa baharu seperti Taxi Driver 3, My Youth dan The Season, produksi yang membawakan kisah berunsur lokal dengan sentuhan universal.
“Dengan kerjasama studio bertaraf dunia dan penglibatan bakat tempatan serta antarabangsa, kami memperkasa industri kreatif sambil mempersembahkan naratif segar dan kekayaan budaya yang mampu memikat penonton global,” ujarnya.
Bagi peminat tegar watak Do-gi, musim ini dijangka membawa dimensi baharu bagi peranan tersebut yang lebih dalam, mencabar dan semakin sarat konflik jiwa.
Gabungan trauma lama, serta semangat mencari keadilan dan cabaran misi luar negara akan menjadikan musim ini sebagai antara yang paling epik dalam siri Taxi Driver.
Naskhah musim ketiga ini masih ditulis Oh Sang-ho dan diarahkan Kang Bo-seung selaku duo yang bertanggungjawab membawa siri ini ke tahap luar biasa sejak musim pertama.- HIBGLAM