‘Ajai cadangkan saya saman Man Senoi!’

SUSULAN kenyataan komposer Ajai berkaitan isu hak cipta lagu untuk konsert WE 4U2C Live In Concert, penyanyi Datuk AC Mizal meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan rakan baiknya itu.

Kecewa dengan kenyataan Ajai yang memberi gambaran seolah-olah 4U2C tidak berhak mengadakan konsert, pemilik nama lengkap Mizal Zaini, 53, mendakwa tindakan Ajai ibarat menutup periuk nasi kumpulannya.

“Ajai rakan baik saya dan saya agak kecewa dengan kenyataan dia bahawa 4U2C tak boleh buat konsert sedangkan pada hari Ahad lepas pukul 6 petang dia (Ajai) menghubungi saya mengatakan dia ada bagi kenyataan.

Dia (Ajai) juga ada mencadangkan kepada saya untuk saman Man Senoi.

“Pada mulanya, saya okey sahaja sebab saya hanya memikirkan tentang konsert selepas sudah 30 tahun tak buat persembahan.

Malam itu juga saya dapat tahu keluar kenyataannya yang 4U2C tidak boleh melakukan konsert. Kenapa nak tutup periuk nasi orang? Apa masalah awak dengan kami,” katanya kepada HibGlam semasa sidang akhbar berkenaan isu hak cipta lagu 4U2C, hari ini.

Ahli kumpulan 4U2C itu menegaskan, sebagai individu yang lama dalam industri Ajai seharusnya lebih memahami sensitiviti melibatkan kerjaya artis lain.

Ajai yang dah terlampau lama dalam industri asyik nak komen. Dia sendiri pun tak tahu tentang perundangan muzik di Malaysia.

“Jadi, bagaimana awak boleh mengulas tentang muzik kami dan apa yang akan kami akan buat konsert,” tegasnya.

Meskipun kesal dengan kenyataan Ajai, pelantun lagu Fiona itu sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada beberapa individu yang menitipkan nasihat dan kata-kata semangat buat dirinya.

“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih kepada Datuk Zainal Abidin yang menghubungi saya dan mengatakan teruskan saja konsert kerana bukan salah kumpulan kami.

“Kemudian, Datuk Amy Search juga ada mesej dan menasihati saya untuk semak dalam platform digital.

“Yang ketiga, Datuk Norman Abdul Halim mesej saya dari Singapura selepas konsert terakhir mereka dan mengatakan kami boleh menyanyi lagu ciptaan KRU dan bersetuju dengan saya,” jelasnya.

Pada masa sama, AC menegaskan bahawa mereka bukan berniat untuk bermusuh, sebaliknya mahu memperjuangkan hak dan martabat pemuzik tempatan.

“Kami bukan nak berlawan dengan sesiapa. Kami hanya mahu tunjuk kepada orang ramai bahawa kami tidak bersalah.

“Kami sedang melakukan perkara yang betul dan sedang memperbetulkan industri muzik tanah air kita,” ujarnya.

Hari ini, AC memaklumkan WE 4U2C Live in Concert yang dijadualkan berlangsung pada 15 September depan akan tetap diteruskan selepas memperoleh permit daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) di bawah akta Hak Cipta Malaysia 1987.

Sebelum ini, komposer dan penerbit Man Senoi dan isterinya, Mama Rap mendakwa tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran konsert selain memaklumkan mempunyai hak sepenuhnya terhadap hak cipta lagu-lagu 4U2C.

Susulan itu, Ajai memberikan pandangan bahawa kedua-dua pihak seharusnya berbincang untuk mencapai kata sepakat agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Dia juga berkata, tindakan Man Senoi menyuarakan isu tersebut adalah wajar kerana\merupakan pemilik kepada melodi lagu-lagu yang dinyanyikan 4U2C dalam konsert tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok