Sertai Squid Game, Cate Blanchett ‘meledak’

KECOH di gelanggang media sosial pelakon Hollywood, Cate Blanchett menyertai siri Netflix popular dunia, Squid Game selepas membuat kemunculan istimewa dalam musim ketiga naskhah terbabit.

Difahamkan, dengan penampilan pelakon filem The Aviator pada salah satu episod musim terakhir itu melebarkan kemungkinan dan potensi akan ada spin-off Squid Game versi Amerika Syarikat (AS) yang kini barangkali dalam pembikinan.

Cate Blanchett ada dalam Squid Game S3. Dia sangat menawan dengan memakai sut.

“Cate dalam Squid Game 3 tiada dalam bucket list 2025 tapi itulah yang terjadi,” demikian antara coretan peminat dalam aplikasi X.

Terdahulu, fenomena siri popular Korea Selatan, Squid Game kembali apabila siaran musim ketiga telah mula ditayangkan menerusi Netflix hari ini.

Sungguhpun begitu, reaksi pengkritik dan penonton untuk musim ketiga dan terakhir ini dilihat bercampur-baur disebabkan kritikan hebat yang diterima siri ini semasa musim kedua.

Sebahagian penonton memuji peningkatan intensiti dan aksi yang lebih mendebarkan, manakala segelintir lagi mengkritik nada cerita yang terlalu kelam dan berat untuk ditonton.

Menurut pencipta siri itu, Hwang Dong-hyuk, musim ketiga akan tampil lebih suram berbanding dua musim terdahulu.

Dunia sekarang semakin hilang harapan. Saya mahu penonton bertanya adakah masih ada kemanusiaan dalam diri kita?,” katanya dalam satu temu bual.

Antara tema yang diangkat dalam musim terakhir ini termasuk dendam, keadilan dan sisi gelap manusia. Bahkan pengarahnya turut menekankan bahawa tidak semua cerita harus berakhir dengan kebahagiaan.

Aksi Cate dalam salah satu episod Squid Game musim ketiga yang menjadi perbualan ramai dalam media sosial sekali gus memberi bayangan akan ada spin-off versi AS.

Squid Game mula mencetuskan fenomena global pada 2021 dengan konsep unik iaitu golongan miskin dipaksa bertanding dalam permainan maut demi wang.

Apa yang mengejutkan, Squid Game bukanlah sebuah karya berbahasa Inggeris, namun tetap berjaya mencipta rekod siri paling ditonton di Netflix iaitu sebanyak 265.2 juta tontonan untuk musim pertama.

Namun, ramai tidak menjangka siri ini akan berakhir hanya selepas tiga musim, sedangkan siri popular lain seperti Stranger Things masih bersambung sehingga lima musim.

Pelakon utama, Lee Jung-jae yang membawakan watak Seong Gi-hun, mengakui pada awalnya siri ini hanya dirancang untuk satu musim sahaja.

Disebabkan sambutan luar biasa, barulah musim kedua dan ketiga diteruskan. Tapi kami rakam kedua-duanya serentak  dan memang memenatkan,” ujarnya.

Musim kedua memperkenalkan beberapa watak baharu seperti Thanos lakonan penyanyi rap popular yang juga bekas anggota kumpulan Big Bang, TOP dan Kang No-eul, seorang pembelot Korea Utara. Watak-watak ini mencetuskan pelbagai reaksi ada yang memuji, ada yang tidak berpuas hati.

Jung-jae menjelaskan bahawa musim ketiga tidak diubah walaupun ada kritikan terhadap musim kedua.

Kami tidak mengubah naratif untuk puaskan penonton kerana apa yang penting, mesej dalam siri ini sampai pada orang yang menonton,” katanya lagi.

Jung-jae turut memberi bayangan bahawa penamat musim ketiga bakal memberi kejutan.

 Saya sendiri tidak sangka. Apa yang pasti akan ada pelbagai reaksi. Tetapi itulah yang akan menjadikan siri ini terus menjadi bualan dan fenomena,” tutur Jung-jae.

Menariknya, pengarah tidak menolak kemungkinan akan kembali dengan siri spin-off pada masa depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok