PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah memilih untuk tidak membuka mulut soal masa depan bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebaliknya menyerahkan urusan jodoh kepada ketentuan Ilahi.
Menurut Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, sebagai seorang wanita, tidak manis baginya berkongsi perkara terlalu peribadi berkaitan hubungan mereka.
“Perancangan masa depan saya serahkan kepada Allah . Kalau ada jodoh, Alhamdulillah.
Bella perempuan, tak manis untuk kongsi apa-apa perancangan masa hadapan. Mohon doakan yang terbaik,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman, pagi tadi.
Terdahulu, Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.
Menjawab pertanyaan media tentang air mata yang tumpah di wajahnya, ibu dua anak itu mengakui rasa syukur tidak terhingga atas keputusan yang menyebelahi Saddiq.
Semua orang gembira. Rata-rata rakyat Malaysia mendoakan keputusan hari ini berpihak kepada YB. Alhamdulillah, doa semua termakbul,” luahnya.
Pelakon Aku Tanpa Cintamu itu turut menyifatkan Saddiq sebagai lelaki berprinsip dan tulus dalam setiap tindakannya.
Dia memang seorang yang jujur, ikhlas dan berani. Apa yang dia buat selama ini bukan untuk nama, tetapi kerana niat yang bersih.
“Mungkin ini ganjaran Allah untuk keikhlasan dia selama ini,” ujarnya
Mahkamah Rayuan hari ini membuat keputusan sebulat suara mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang sebelum ini dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan rayuan penuh Saddiq. – HIBGLAM