‘Raja Nurfatimah sangat prihatin terhadap dunia seni suara’

TERKESAN dengan pemergian Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH) Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, penyanyi veteran, Datuk DJ Dave menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat prihatin dengan penggiat seni terutama dalam kebajikan.

Mengenali sejak 20 tahun lalu, DJ Dave, 79, turut memaklumkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar dalam industri hiburan.

“Arwah seorang yang prihatin terhadap dunia seni suara. Dia jurnalis hiburan, malah saya sangat rapat dengan dia.

“Kalau ada apa-apa masalah, saya telefon dia kemudian dia aturkan pertemuan. Setiap majlis yayasan kebajikan, dia mesti hantar wakil wartawan untuk membuat liputan.

“Pada saya pemergian arwah adalah satu kehilangan besar terhadap dunia wartawan. Saya sudah mengenali arwah seiak 20 tahun lalu sewaktu dua masih berkhidmat di meja jenayah,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kajang bagi pengurusan jenazah, hari ini.

Dalam masa sama, DJ Dave memaklumkan sudah menganggap arwah sebagai adik memandangkan mereka sangat akrab.

“Dia macam adik saya. Dia menganggap saya seorang abang. Begitulah perasaan kami.

“Dia orang yang baik. Orang yang sangat baik. Dia banyak berjasa terhadap dunia seni suara,” ujarnya.

Hari ini, Raja Nurfatimah meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, di sini selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira pukul 2 petang, semalam.

Jenazah Allahyarham Raja Nurfatimah dibawa ke Hospital Kajang, bagi menjalani postmortem yang akan berlangsung malam ini.

Jenazah Allahyaham Raja Nurfatimah kemudian dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Haji Kadir Pasir Panjang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok