DIDAKWA terlibat melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, penyanyi Naim Daniel enggan mengulas panjang bagi mengelak mengganggu proses perbicaraaan kelak.
Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, bersedia memberikan kerjasama sepanjang kes berlangsung.
“Saya di sini baru saja didakwa untuk satu pertuduhan berat, saya faham semua ada persoalan dan banyak tanda tanya yang mengejutkan setengah pihak.
Buat masa sekarang saya belum bercadang untuk mengulas panjang oleh kerana kita masih di peringkat awal. Saya tak ingin ada campur aduk yang boleh menganggu perbicaraan nanti.
“Setakat ini, saya serahkan kepada sistem pengadilan. Saya komited untuk bagi kerjasama penuh bagi bersihkan nama, harap dapat doa dari semua,” katanya kepada HibGlam di pekarangan Mahkamah Sesyen hari ini.
Ditanya mengenai jadual kerja, pelantun lagu Sumpah itu masih dalam proses perbincangan dengan pihak pengurusnya iaitu XO House.
“Persembahan masih berbincang dengan pihak pengurus.
Setakat ini, saya hanya mahu laksanakan apa yang ada di depan,” ujarnya.
Hari ini, Naim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, Naim didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bagi tujuan seksual.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dam tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.
Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – HIBGLAM