PASANGAN sensasi, Taylor Swift dan Travis Kelce mencuri perhatian apabila menghadiahkan pelbagai barangan mewah termasuk sebuah kereta klasik dan aksesori berjenama Cartier kepada tetamu sempena majlis perkahwinan mereka.
Majlis yang berlangsung di Madison Square Garden pada 3 Julai lalu itu dikatakan menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu yang bukan sahaja diraikan dengan persembahan eksklusif, malah berpeluang memenangi hadiah menerusi pelbagai permainan yang dianjurkan sepanjang acara.
Menurut laporan media antarabangsa, pemenang utama membawa pulang sebuah Chevrolet Chevelle Convertible 1970, manakala tetamu lain turut memenangi pelbagai hadiah mewah termasuk beg berjenama dan barangan kemas daripada Cartier.
Difahamkan, kereta klasik tersebut dipilih kerana mempunyai nilai sentimental buat pasangan itu memandangkan model sama pernah digunakan Kelce untuk membawa Swift meninggalkan perlawanan Kansas City Chiefs padaSeptember 2023 iaitu detik permulaan kisah cinta mereka.
Selain hadiah lumayan, ruang dalaman Madison Square Garden turut dihias bak hutan fantasi dengan pepohonan hidup dan dekorasi mewah, manakala Swift dan Kelce mengenakan busana perkahwinan rekaan Christian Dior Haute Couture. Taylor turut melengkapkan penampilannya dengan kasut Christian Louboutin serta barang kemas daripada Cartier.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Paul McCartney dan Stevie Nicks, sekali gus menjadikan hari bahagia pasangan tersebut antara acara paling mewah dan mendapat perhatian ramai tahun ini. – HIBGLAM
