Anak Ahmad Dhani selamat nikahi Alyssa Daguise

TUJUH tahun menyulam cinta, anak sulung penyanyi Ahmad Dhani, Al Ghazali akhirnya sah bergelar suami kepada Alyssa Daguise, hari ini.

Dalam sebuah majlis di Jakarta, Al Ghazali menyerahkan mas kahwin berupa logam mulia seberat 16.6 gram bersama wang tunai 2,025 Euro (RM9909.77).

Al Ghazali atau nama lengkapnya Ahmad Al Ghazali Kohler, 27, bergelar suami dengan sekali lafaz dalam majlis ijab kabul yang dilakukan di hadapan penghulu dan saksi.

“Saya terima nikah dan kahwinnya Alyssa Paramitha Daguise Richard Vincent Daguise dengan mas kahwin tersebut dibayar tunai,” katanya.

Pasangan pengantin dilihat menggayakan busana rona putih mengikut adat Sunda semasa majlis akad nikah yang berlangsung pukul 10 pagi tadi.

Selain Ahmad Dhani, pernikahan itu turut dihadiri bekas isterinya, penyanyi Maia Estianty yang menyaksikan hari bahagia anak lelaki mereka.

Sabtu lalu, Al Ghazali dan Alyssa menjalani acara bersiram yang diadakan di kawasan Pondok Indah, Jakarta Selatan.

Sebelum ini, anggota kumpulan Lucky Laki itu melamar Alyssa di Lake Como, Italy.

Hubungan Al Ghazali dan Alyss, 27, yang berdarah campuran Indonesia-Perancis mendapat restu kedua-dua keluarga termasuk ibunya, Maia.

Pasangan itu bercinta sejak 2016 tetapi pernah memilih haluan sendiri sekitar dua tahun lalu. Hubungan mereka bagaimanapun terjalin semula sekali gus mendorong Al Ghazali melamar buah hatinya itu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok