TIDAK keterlaluan andai menyifatkan nama Nadeera kini sudah cukup dikenali tanpa perlu diperkenalkan.
Single Bukan Lagi Kita yang menjadi fenomena membuka laluan buatnya dalam industri sekali gus kini menjadi antara pencabar dalam kalangan penyanyi tempatan lain.
Kalau dulu, pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini itu hanya menyanyi di atas pentas dalam pertandingan nyanyian tetapi hari ini, dia mampu tersenyum dengan kejayaan showcase An Evening With Nadeera.
Berlangsung pada 30 Mei lalu, Nadeera meluahkan rasa syukur dan lega showcase eksklusif yang dianjurkan Mask Team dan Usanita Sdn. Bhd. itu ‘full house’ dengan kehadiran 350 penonton.
“Ya Allah leganya sebab saya pertama kali buat sesuatu yang tidak pernah lakukan. Kena sediakan lagu untuk showcase sebab sebelum ini menyanyi di hotel saja.
“Hampir sebulan saya buat persediaan, agak susah juga. Dari dulu memang teringin nak buat showcase, saya berangan masa kerja di hotel lagi.
“Dulu menyanyi depan kerusi dan meja tetapi alhamdulillah hari ini saya dapat buat persembahan depan manusia,” katanya kepada HibGlam usai melunaskan persembahan.
Pada malam tersebut, pelantun lagu Emas itu turut membuat kejutan berduet bersama penyanyi Dayang Nurfaizah menerusi lagu Hakikat Cinta.
“Pada awalnya saya cadangkan saja nama sebab pihak pengurusan tanya siapa penyanyi yang betul-betul nak duet.
“Saya cakap Dayang Nurfaizah sebab suka keunikan suara dan imej dia. Saya menjadikan dia idola.
“Terharu juga apabila pihak pasukan saya cakap Dayang pun nak menyanyi dengan saya,” ujarnya lagi.
Selain Hakikat Cinta, wanita berusia 31 tahun itu turut membawakan lagu Fatwa Pujangga (Datuk Aishah), Jampi (Hael Husaini), Tanpa Dendam Di Hati (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Kau Di Hatiku (Datuk Zainal Abidin).
Dia juga membawakan dua buah lagu Inggeris iaitu Try nyanyian asal Pink dan Illusion (Dua Lipa).
Zainal, Anuar Zain
Lebih manis, showcase yang bertempat di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) diserikan dengan kehadiran penyanyi Datuk Zainal Abidin yang juga mentornya ketika menyertai program Mentor Legend pada 2014.

TERBANG tinggi, nama Nadeera kini menjadi bualan ramai selepas meledak dengan lagu Bukan Lagi Kita.
“Kenapa Datuk Zainal masih sukses? Sebab dia adalah orang yang sangat berdisiplin. Masa saya di bawah jagaannya, disiplin memang kena jaga.
“Saya pernah datang lambat kena maki. Perkataan apa saja yang tidak keluar tetapi itulah yang mengajar saya.
“Terima kasih tunjuk ajar, saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Walaupun Datuk marah, kau tetap dihati,” katanya.
Malah, dia juga terharu dengan kehadiran Anuar Zain yang menjadi penonton di barisan paling hadapan.
“Saya tidak diberitahu mengenai kehadiran Anuar Zain. Tahu-tahu dia dah berada di hadapan saya.
“Senior datang beri sokongan kepada saya memang sangat luar biasa. Kita teringin nak seseorang artis yang kita sanjungi datang,” jelasnya.
Tidak lengkap malam showcase tanpa ‘killer song’ iaitu Bukan Lagi Kita dan dua single miliknya iaitu Emas dan Boneka Tanpa Hati turut dinyanyikan.
Showcase Nadeera turut diisi dengan persembahan bakat baharu, Anwar Hamzah dengan lagu Imaginasi.