‘Ibu bapa bergaduh dalam media sosial, kasihan anak kena ejek’

PELAKON Emma Maembong kurang senang dengan tindakan sesetengah pihak yang suka melondehkan aib rumah tangga kepada umum.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail menegaskan situasi sebegitu boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental anak-anak.

“Saya tak suka tengok suami isteri buka aib satu sama lain dalam media sosial. Apabila besar anak-anak buat carian dalam internet, tidak bagus untuk mental mereka.

“Kadang-kadang kita tak tahu pun anak-anak kena bahan atau diejek di sekolah. Kita rasa buat yang terbaik nak selamatkan anak daripada ibu atau bapa tak berguna tetapi kasihan anak.

“Anak-anak nampak bapa sebagai superhero manakala ibunya superwoman. Saya kurang suka orang bergaduh dalam media sosial,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon drama Seribu Tahun itu berpendapat pergaduhan antara dua orang dewasa untuk mendapatkan hak anak juga hanya semata-mata dilakukan demi kepuasan diri.

“Anak-anak perlukan ibu bapa. Saya pantang dengar orang bergaduh nak ambil hak anak dengan alasan ‘bapa tak bagus’, tak boleh cakap begitu.

“Bagi anak, dia hero. Bapanya adalah segala-gala buat mereka, kadang-kadang manusia buat sebab ego dan nafsu.

“Bila bergaduh, hak anak dapat tiba-tiba minta pengasuh atau mak yang jagakan budak-budak,” jelasnya lagi.

Berkongsi lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu memaklumkan dia dan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar bekerjasama dalam menjaga putera mereka walaupun sudah berpisah.

“Macam saya biar kami bekerjasama. Alhamdulillah, memang boleh kendalikan (anak) walaupun orang kata kehidupan agak sukar.

“Saya ibu tunggal sekarang tetapi kami (bersama bekas suami) sepakat. Kalau saya menjalani penggambaran, anak-anak bekas suami yang jaga.

“Kalau dia ‘terbang’, saya pula ambil alih tanggungjawab untuk menjaga mereka,” ujarnya.

Oktober tahun lalu, Emma mengesahkan sudah bercerai dengan Shazli dan selesai tempoh idah tetapi memilih untuk tidak menghebohkan kepada umum.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dengan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok