Konsert MeleTOP TVS, bikin havoc satu Miri!

MESKI julung kali diadakan, Konsert MeleTOP TVS berjaya menggegarkan Bumi Kenyalang pada 17 Mei lalu.

Berlangsung di Stadium Tertutup Bandaraya Miri, acara yang dimeriahkan hampir tiga ribu penonton itu merupakan kerjasama Astro dan TV Sarawak (TVS).

Menjulang tema ‘Nang Champiyen Nang Lagend’ yang bermaksud ‘yang juara, yang legenda’, konsert tersebut dilihat mencapai misinya dengan menggabungkan warisan kebudayaan Borneo dan budaya pop masa kini.

Dihoskan Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hana Rizwana bergandingan dengan tiga lagi pengacara TVS iaitu Ghaz Zawawi, Cheryl Toh serta Fattah Bol, Konsert MeleTOP TVS mendapat sambutan luar biasa penduduk Borneo. – IHSAN ASTRO

Tidak keterlaluan jika penulis menyifatkan energi penonton di bumi Borneo sememangnya luar biasa. Aura mereka berbeza berbanding peminat di Semenanjung.

Barangkali adrenalin mereka juga meledak tatkala memberi sokongan dan menonton persembahan barisan penyanyi berasal dari Sarawak dan Sabah pada acara tersebut.

Tepat pukul 9 malam, pentas acara berskala mega itu dibuka dengan persembahan kumpulan Sada Borneo yang sememangnya dikenali sebagai band yang memperjuangkan muzik Borneo di mata dunia.

Membawa alatan muzik seperti sape dan persalinan etnik Sarawak, Sada Borneo berjaya menyuntik semangat kenegerian pada malam tersebut.

Lincah! Mimi Fly (kiri) dan Stacy bergabung menerusi tiga lagu iaitu Abracadabra, Menyala dan Angkat.

Istimewanya, persembahan mereka turut menampilkan penari cilik, Dion Das Louis, atau lebih dikenali sebagai ‘Little Bornean Birdie’ yang pernah mengharumkan nama negara di beberapa pertandingan tarian seluruh dunia.

Usai dihiburkan dengan muzik Borneo, pentas dipanaskan dengan gabungan bertenaga Mimi Fly dan Stacy menerusi lagu Abracadabra, Menyala serta Angkat.

Kemuncak malam tersebut pastinya apabila anak jati Sarawak, Dayang Nurfaizah dikurniakan Anugerah Khas Borneo MeleTOP yang disampaikan Pengerusi TVS, Datuk Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal.

Penghargaan tersebut merupakan simbol tertinggi pengiktirafan kepada anak kelahiran Sarawak yang berjaya mengharumkan nama negeri dan Borneo di arena muzik tanah air.

AKSI romantik antara Dayang (kiri) dan Hael Husaini ketika mendendangkan lagu popular mereka, Haram.

Akui Dayang, penghargaan tersebut membuatkan dirinya sebak, namun berbangga kerana menerima anugerah di negeri kelahirannya.

Ini satu penghargaan luar biasa untuk saya sebagai anak jati Borneo. Walaupun anugerah diterima di Miri, bukannya di daerah kelahiran iaitu Kuching, manisnya tetap sama.

“Terima kasih kepada yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya seni saya selama 26 tahun ini,” katanya dalam nada sebak.

Nadeera turut mendendangkan lagu Hakikat Cinta dan Erti Hidup milik Dayang sebagai tanda tribute kepada penyanyi berusia 44 tahun itu.

Dayang pada malam tersebut turut memeriahkan acara dengan mendendangkan lagu Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu dan Haram (duet bersama Hael Husaini).

Acara terus digamatkan dengan lontaran vokal hebat Nadeera menerusi lagu Bukan Lagi Kita.

Istimewanya, bukan susunan muzik asal tetapi Nadeera menghadiahkan susunan muzik yang sama seperti dipersembahkan pada Anugerah Juara Lagu ke-39 lalu.

PERSEMBAHAN hebat Nadeera mencuri perhatian penonton yang rata-rata kagum dengan vokalnya.

‘Standing ovation’ dan tepukan gemuruh turut diberikan penonton Miri kepada Nadeera pada malam itu, memang luar biasa impak lagu tersebut.

Hiburan tanpa henti pada malam tersebut, Konsert MeleTOP TVS diserikan juga dengan persembahan dari beberapa penyanyi lain seperti Hael, Marsha Milan, Floor 88, Wani Kayrie dan Noki.

Malam kemuncak ditutup dengan penuh gaya oleh Dolla menerusi lagi Damelo, Impikan dan single terbaharu, MWA! yang berjaya bikin ‘havoc’ satu Miri!

Konsert dihoskan Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hana Rizwana bergandingan dengan tiga lagi pengacara TVS iaitu Ghaz Zawawi, Cheryl Toh serta Fattah Bolh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok