‘World Class’, Shabrina Leanor pilihan Indonesia

BERVOKAL lantang serta mempunyai aura semula jadi seorang bintang antara keistimewaan juara Indonesia Idol musim ke-13, Shabrina Leanor.

Tidak hairan ketika program pertandingan realiti itu sedang berlangsung Shabrina sudah mencipta fenomena tersendiri.

Bukan sekadar pujian juri profesional, laman sosial melimpah dengan reaksi positif netizen termasuk dari Malaysia yang menyifatkan Shabrina selayaknya menang berikutan persembahan konsistennya.

Nyata kejuaraan milik mutlak pemilik nama lengkap Shabrina Leonita itu, malah turut direstui seluruh rakyat Indonesia.

Mengikuti perjalanan Shabrina dari sesi uji bakat sehingga berhempas-pulas berjuang berbulan lamanya, pengiktirafan diberikan memberi anjakan baharu buat figura asal Bangka Belitung itu.

Bermula sebagai penyanyi di majlis perkahwinan, Shabrina diramalkan bakal menjadi penghibur kesayangan ramai.

Ramai mengenali sosok hebat Shabrina atau mesra disapa Bina kerana sering mengikuti perkembangan pertandingan terbabit sejak awal tahun ini.

Juara pertandingan dunia

Dari awal uji bakat, fokus lebih diberikan ke arah Shabrina berikutan tona vokalnya dikatakan berkelas dunia.

Masakan tidak, wanita berkenaan sudah mengikuti pelbagai pertandingan nyanyian sehingga ke luar negara selain pernah memenangi program I-Sing Indonesia Goes to France pada 2017.

Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah meraih gelaran juara dalam 1 Karaoke World Championship di Finland pada 2021 dan menjadi pemenang program I Can See Your Voice Indonesia musim keempat.

Rupa-rupanya, Bina mewarisi bakat nyanyian arwah ibunya, Widya Restu yang juga merupakan seorang penyanyi.

Satu momen yang paling membanggakan apabila anak bongsu daripada lima beradik itu membawakan lagu daerah berjudul Seni Budaya Kite ciptaan Alhamd di pentas Indonesia Idol sebelum ini.

Lagu yang berasal dari Bangka Belitung dinyanyikan dengan lenggok Melayu yang sangat istimewa, bahkan turut diiringi tarian tradisional yang dipanggil Tari Kedidi.

Ini membuktikan Bina bukan sahaja hebat sebagai penyanyi pop, malah berupaya menjadi duta budaya yang mengangkat kekayaan seni lokal ke peringkat lebih tinggi.

Terdahulu, semasa pentas Result & Reunion malam kemuncak Indonesian Idol pada Isnin lalu, ada momen paling berharga antara Bina dan penyanyi Maia Estianty yang juga juri tetap.

Maia sanggup berdiri di atas meja kerana terlalu kagum dengan persembahan lagu Karena Kusanggup dan terus meluru memeluk Bina sebelum mengakhiri nyanyiannya.

Selaku juri yang melihat perkembangan peserta, Maia berkata, Shabrina berusaha keras dalam pertandingan itu kerana akan menunjukkan perubahan dalam setiap persembahan mengikut semua komen-komen yang diberikan.

Sememangnya Shabrina layak bergelar juara, namun persaingan sebenarnya bukan dalam Indonesia Idol tetapi perjuangan menghadapi dunia luar.

Apa pun ramai menjangkakan bakat dimiliki Shabrina luar biasa sekali gus meletakkan wanita berkenaan dalam posisi selesa untuk terus memicu kegemilangan.

Sementara itu, pada malam kemuncak Indonesian Idol, Shabrina berdepan pencabar terdekatnya iaitu Fajar Noor yang meraih gelaran naib juara. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok