DIMOMOKKAN kesan bencana alam, pelakon Ben Amir menyelar tindakan seorang individu yang meninggalkan komen negatif mengenai Pulau Siargao, Filipina, lokasi yang kini menjadi ‘rumah’ baharunya.
Ben atau nama penuhnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, kesal apabila netizen terbabit menyinggung perasaan penduduk tempatan yang masih berdepan trauma akibat bencana alam tersebut.
“Kalau tak ada benda baik nak cakap jangan cakap benda yang bodoh.
“Siargao memang pernah kena typhoon (taufan) teruk dan orang di sini masih dalam fasa pemulihan dan masih trauma fasal ini.
“Kita bantu dan beri sokongan pada satu sama lain untuk bina semula kehidupan. Tetapi itulah manusia, ada sahaja benda bodoh nak cakap,” katanya dalam hantaran Instagram
Terdahulu, seorang individu meninggalkan komen yang disifatkan kurang sensitif apabila mendakwa kebahagiaan yang dinikmati aktor di negara itu akan berakhir apabila ribut taufan melanda pulau tersebut.
“Tunggu masa taufan nanti la,” demikian tulis pengguna akaun terbabit di ruangan komen.
Hantaran yang dikongsikan Ben sebelum itu adalah bagi menzahirkan kegembiraan menjalani kehidupan sederhana di pulau peranginan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Matahari terpancar di kulitmu, vitamin D, udara segar, dikelilingi alam semula jadi, tiada trafik, tiada orang gila, makanan sihat, tubuh dan minda yang sihat.
“Dan masih ada orang yang fikir aku gila kerana meninggalkan kehidupan bandar. Bila dah rasa baru anda akan faham,” ujarnya.
Pada Mac lalu, pelakon filem Polis Evo 3 itu mendedahkan nekad meninggalkan kehidupan bandar dengan berhijrah ke Pulau Siargao. – HIBGLAM