RAMAI tersalah anggap, pelawak Saiful Apek tampil menjernihkan kekeliruan susulan sekeping foto tular memaparkan dirinya seolah-olah ditahan polis, baru-baru ini.
Ujar Saiful atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, gambar tersebut ditangkap ketika pihak polis meleraikan salah faham yang berlaku antara dirinya dengan seorang individu tidak dikenali dan bukan kerana ditahan seperti didakwa.
“Individu dalam foto itu memang saya. Tapi situasinya bukan ditahan, sebaliknya polis hanya meleraikan kekecohan. Nampak macam bergaduh, tapi hakikatnya tidak.
“Apa yang membuatkan saya terusik apabila dia sebut nama abang saya, Abang Aziz M Osman dan kata filem 6 Jilake sampah. Kalau sekadar sentuh nama saya, saya boleh kawal emosi. Tapi itu sifu saya,” katanya kepada HibGlam.
Jelas ahli kumpulan Senario itu, kekecohan tersebut berlaku sewaktu Apek menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Cheras, Isnin lalu.
“Ketika kejadian, saya baru sampai ke majlis. Tiba-tiba ada seorang lelaki mula buat provokasi tentang filem tersebut. Saya bangun dan beredar kerana tak mahu keruhkan suasana.
“Saya ingatkan sudah selesai, tetapi semasa di parkir, dia datang semula dan terus menimbulkan provokasi hingga polis terpaksa campur tangan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Terbaek Raya anjuran mStar, hari ini.
Insiden itu mengundang kekeliruan apabila sebuah portal hiburan menyiarkan foto seorang lelaki berbaju Melayu merah jambu, dipercayai Apek dilihat seperti ditahan oleh dua anggota polis.
Rentetan isu tersebut, Apek memohon maaf kepada keluarga dan sahabat handai yang terkesan dengan penyebaran maklumat tidak tepat.
“Saya harap semua orang faham situasi sebenar dan tenang. Terutamanya ahli keluarga serta sahabat yang mungkin terkejut.
“Cuma apa yang paling saya risau, bila ramai yang hubungi ahli Senario, khususnya Azlee. Kita tahu dia ada masalah jantung,” kongsinya.
Terdahulu, tular gambar dipercayai dirakam pada Selasa menunjukkan Apek bersama seorang lelaki lain sedang disoal anggota polis. – HIBGLAM