‘Gambar biasa, ada lagi foto lebih mesra’

“SAYA rasa ada lagi mesra daripada itu”.

Demikian kata vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter, Azlan sewaktu diminta mengulas mengenai fotonya bersama seorang wanita yang tular di aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Menurut Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle Sallehuddin, 43, gambar bersama peminat itu hanya foto biasa yang tidak membawa maksud lain.

“Ikutkan banyak lagi gambar lebih mesra dengan peminat, itu biasa saja bukannya gambar bogel pun,” katanya.

Tambah Azlan yang ditemui pada majlis rumah terbuka Indigital Music & FYP Media semalam, peminat tidak perlu bimbang kerana sebagai seorang suami, dia masih tahu batas-batas yang perlu dijaga.

“Tidak (ada berhubung dengan sesiapa atau ada teman istimewa). Saya ini kadang-kadang ada tugas malam, jadi orang sekeliling karakternya begitu.

“Gambar itu tidak membawa sebarang maksud, hanya gambar biasa,” ujarnya.

Kata pelantun lagu Bara Jiwa yang menjadi runut bunyi filem Blood Brothers: Bara Naga itu, sebagai selebriti dia tidak melarang atau mengehadkan tindakan sesiapa termasuk peminat untuk memuat naik gambarnya.

“Terpulanglah pada mereka kalau hendak kongsi atau tidak, yang penting saya tahu tanggungjawab saya terhadap keluarga,” ujarnya.

Terdahulu, tular gambar yang memperlihatkan penyanyi terbabit memegang pinggang seorang wanita namun skirt perkongsian tersebut dipadam tidak lama kemudian.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok